Honor secara rasmi telah melancarkan telefon pintar terbaharu mereka, Honor Power 2, di pasaran China. Peranti ini menarik perhatian ramai kerana reka bentuknya yang dikatakan menyerupai siri iPhone 17 Pro

Dalam pada masa yang sama, spesifikasi uniknya menggabungkan ketahanan lasak gred IP69K dengan bateri berkapasiti luar biasa besar iaitu 10,080mAh dalam kerangka yang nipis.

Honor Power 2 diposisikan sebagai peranti kelas pertengahan yang memfokuskan kepada ketahanan bateri dan penggunaan luaran.

Walaupun mempunyai kapasiti bateri yang besar, Honor berjaya mengekalkan ketebalan peranti ini pada hanya 8mm. Kuasa pemprosesan peranti ini dipacu oleh cip MediaTek Dimensity 8500 Elite, sebuah cip kelas pertengahan baharu yang dioptimumkan untuk kecekapan tenaga.

Antara ciri paling menonjol pada peranti ini adalah paparan skrinnya. Ia hadir dengan panel AMOLED bersaiz 6.79 inci dengan resolusi 2,640 x 1,200 dan kadar segar semula 120Hz.

Lebih menarik, skrin ini mampu mencapai kecerahan puncak HDR sehingga 8,000 nits, menjadikannya sangat jelas walaupun di bawah terik cahaya matahari.

Dari segi ketahanan, Honor Power 2 bukan sahaja mempunyai penarafan IP68, tetapi juga IP69K yang menjamin perlindungan daripada tekanan air tinggi dan suhu ekstrem, sesuai untuk aktiviti lasak.

Spesifikasi utama Honor Power 2

  • Cipset: MediaTek Dimensity 8500 Elite
  • Bateri: 10,080mAh dengan pengecasan pantas 80W (berwayar) dan pengecasan berbalik 27W .
  • Skrin: 6.79-inci AMOLED, 120Hz, Kecerahan Puncak 8,000 nits.
  • Kamera Belakang: 50MP Utama (f/1.88), 5MP Ultra-lebar, lensa makro (spesifikasi ketiga tidak dinyatakan secara jelas).
  • Kamera Swafoto: 16MP (f/2.45).
  • Ketahanan: Penarafan IP68, IP69, dan IP69K.
  • Memori: Pilihan RAM 12GB dengan storan 256GB atau 512GB.

Di China, peranti ini dijual pada harga bermula CNY 2,700 (kira-kira RM1,700) untuk varian 12GB/256GB dan CNY 3,000 (kira-kira RM1,900) untuk varian 512GB.

Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai ketersediaan peranti ini untuk pasaran global termasuk Malaysia.

Tinggalkan komentar