Selepas hampir dua bulan sejak mula diperkenalkan di China, Honor Play akhirnya kini secara rasminya hadir memasuki pasaran Malaysia.
Telefon pintar ini dibina khusus oleh Honor untuk permainan mudah alih. Ia dijangkakan bakal memberikan saingan sengit terhadap model-model telefon pintar yang menkhususkan permainan mudah alih lain seperti yang dikeluarkan oleh Xiaomi, Razer dan Asus.
Dari segi spesifikasi, Honor Play mirip dengan telefon pintar mercu terbaru, Honor 10. Ia menggunakan chipset Huawei Kirin 970, bersama-sama unit pemprosesan rangkaian neural atau juga dikenali sebagai neural-network processing unit (NPU), dan teknologi berasaskan kecerdasan buatan. Untuk paparannya pula, telefon pintar ini menawarkan skrin 6.3″ Full HD+ dengan nisbah aspek 19.5: 9.
Apa yang membezakan Honor Play dengan telefon-telefon pintar lain adalah penggunaan teknologi GPU Turbo. Fungsi teknologi berkenaan adalah mempertingkatkan prestasi GPU chipset sehingga 60 peratus. Pada masa yang sama, ia juga menjimatkan penggunaan tenaga telefon pintar pada kadar sekitar 30 peratus. Justeru, mempertingkatkan masa permainan pada sesebuah telefon pintar.
Untuk kamera utamanya, telefon pintar ini dilengkapi dengan kamera dengan tetapan 16MP f/2.2 + 2MP f/2.4. Bahagian hadapannya pula, kamera yang disediakan adalah 16MP f/2.0. Tidak ketinggalan, Honor Play turut dilengkapi dengan penderia cap jari yang mempunyai keupayaan pengecaman pantas.
Honor Play akan hadir ke pasaran tempatan bermula 10 Ogos 2018 ini dan dijual pada harga bermula dari RM1,249.