HONOR Malaysia baru-baru ini mengesahkan bakal membawa masuk model flagship terbaharunya, Magic 8 Pro, ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Menjelang pelancaran tersebut, HONOR telah mengadakan satu acara pratonton khas di Tingkat 98, Menara Merdeka 118, untuk memperlihatkan keupayaan fotografi peranti berkenaan.
HONOR Magic8 Pro dilengkapi dengan sistem tiga kamera yang canggih. Konfigurasi ini termasuk sensor utama 50MP “Ultra Night” dengan apertur f/1.6 dan dilengkapi Penstabilan Imej Optik (OIS). Ia digandingkan dengan lensa sudut ultra-lebar 50MP yang menawarkan medan pandangan seluas 122°.
Tumpuan utama pada sistem kamera ini adalah lensa telefoto, yang turut menerima gelaran “Ultra Night”. Menurut HONOR, lensa ini mampu mencapai tahap penstabilan CIPA 5.5 dengan OIS, satu prestasi yang setara dengan kamera DSLR bagi mengelakkan hasil gambar kabur akibat gegaran tangan.
Di samping itu, keupayaan suntingan gambar pada telefon pintar ini turut disokong oleh teknologi kecerdasan buatan (AI). Ini merupakan sebahagian daripada contoh foto-foto yang diambil menggunakan HONOR Magic 8 Pro dari Tingkat 95 Menara 118.
Magic8 Pro x Visit Malaysia 2026
Dalam acara yang sama, HONOR Magic8 Pro diumumkan telah dipilih sebagai “Peralatan Fotografi Terpilih untuk Kempen Visit Malaysia 2026”.
Spesifikasi lain masih belum didedahkan sepenuhnya untuk pasaran Malaysia. Namun, merujuk kepada model yang dilancarkan di China, Magic8 Pro dijangka akan dijana oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, mempunyai paparan skrin OLED 6.71-inci dengan kadar segar 120Hz, dan dibekalkan bateri berkapasiti 7,200mAh. Perlu diingatkan bahawa spesifikasi ini mungkin berubah untuk versi tempatan.
Setakat ini, HONOR masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi untuk Magic8 Pro di Malaysia. Pengguna yang berminat dinasihatkan untuk sentiasa menyemak laman web rasmi HONOR bagi mendapatkan pengumuman dan maklumat lanjut dari semasa ke semasa.





















