KUALA LUMPUR, 7 Mac 2024 – Selepas menjadi syarikat bebas pada 2020, jenama teknologi global HONOR mengalami pertumbuhan cemerlang di China. Tahun lalu, syarikat ini terlibat dalam persaingan langsung dengan pengeluar telefon pintar gergasi Samsung dan menimbulkan cabaran kepada Apple. HONOR berjaya berkembang menjadi pemain penting dalam pasaran premium, seterusnya mengukuhkan kedudukannya.
Pada 2023, HONOR berada di kedudukan teratas di pasaran Android China. Kejayaan ini dikaitkan dengan penambahbaikan dalam saluran perkongsian dan strategi produk yang komprehensif. HONOR menembusi pasaran mewah dengan kejayaan rangkaian telefon boleh lipat dan menawan pasaran permulaan hingga pertengahan dengan pelbagai model popular, menurut IDC.
Di pasaran Malaysia, HONOR mengalami pertumbuhan pesat dan menjelang 2023, Siri HONOR Magic berjaya tersenarai dalam kedudukan antara tiga teratas dalam pasaran telefon pintar premium bagi julat harga lebih RM4,000. Disember lalu, HONOR menguasai lebih 50% pasaran dalam julat harga RM1,000 hingga RM2,500 untuk telefon pertengahan dengan HONOR 90 Lite dan HONOR X9b antara telefon pintar terlaris.
Bagi mengukuhkan lagi kedudukan di Malaysia, HONOR menyasar untuk mencapai 20% penguasaan pasaran menjelang akhir 2024. Pencapaian ini dilakukan menerusi pengenalan model baharu dalam julat pertengahan hingga premium dengan menggabungkan teknologi inovatif.
Timbalan Pengarah Negara HONOR Malaysia, Matthew Ng berkata, kejayaan HONOR adalah disebabkan nilai teras syarikat yang mengutamakan pelanggan. “Daripada hanya menumpukan pada jumlah besar, HONOR mengutamakan nilai kepada pengguna, meningkatkan gaya hidup mereka dan memastikan pengalaman pengguna yang positif,” katanya. Matthew turut menekankan kepentingan menyampaikan produk yang bernilai kepada pengguna dan disokong oleh usaha syarikat ini untuk menawarkan pilihan berkualiti dengan ciri-ciri tercanggih.
Penyelidikan dan pembangunan (R&D) HONOR memainkan peranan penting dalam memajukan teknologi, terutamanya dalam telefon boleh lipat. Dengan 60% daripada 13,000 kakitangan global adalah pakar R&D, HONOR memastikan peranti seperti HONOR Magic V2 yang baru dilancarkan menonjol sebagai telefon boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia. Ini menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi jenama ini terhadap inovasi teknologi.
“Model telefon boleh lipat HONOR yang terdahulu lebih tebal. Namun, selepas penyelidikan menyeluruh dan memahami kemahuan pengguna, hasilnya HONOR Magic V2 telefon boleh lipat paling ringan dan nipis di dunia buat masa sekarang,” jelas Matthew.
Menurut Matthew, pengguna Malaysia lebih menggemari telefon pintar dengan ciri-ciri besar seperti skrin dan kapasiti bateri besar. Pilihan ini menyumbang kepada kejayaan jualan HONOR Magic V2 kerana pengguna lebih cenderung tertarik kepada peranti yang menawarkan ciri besar dan pengalaman pengguna yang lebih realistik.
Pada 25 Februari lalu, HONOR melancarkan HONOR Magic6 Pro dan HONOR Magic V2 RSR Porsche Design di Mobile World Congress (MWC) 2024 di Barcelona, Sepanyol. Susulan pelancaran global itu, HONOR Malaysia sedang bersiap sedia untuk melancarkan HONOR Magic6 Pro di negara ini.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web HONOR di https://www.hihonor.com/my/













