Menjelang pelancaran rasminya di Malaysia yang dijadualkan pada 27 November 2025, Honor Magic8 Pro telah mula menarik perhatian penggemar teknologi tempatan.
Telefon pintar mercu baharu ini bukan sahaja bakal menjadi pesaing utama dalam pasaran telefon pintar, malah telah dipilih sebagai “Peralatan Fotografi Pilihan” untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tumpuan utama telefon pintar ini terletak pada sistem kameranya yang digelar “Ultra Night Telephoto Camera”. Ia menjanjikan keupayaan fotografi jarak jauh dan pencahayaan rendah yang luar biasa.
Berdasarkan pemerhatian awal kami, Honor Magic8 Pro dilengkapkan dengan sistem tri-kamera belakang yang sangat berkuasa. Tumpuan utamanya terletak pada kamera Telefoto Ultra Night 200MP yang menggunakan sensor besar bersaiz 1/1.4-inci dengan bukaan f/2.6.
Spesifikasi ini membolehkannya menangkap zum digital sehingga 100x dengan bantuan algoritma AI untuk mengekalkan perincian imej walaupun pada jarak ekstrem.
Sistem ini turut disokong oleh:
- Kamera Utama: 50MP Ultra Night (sensor 1/1.3-inci, f/1.6) dengan OIS.
- Kamera Sudut Ultra Lebar: 50MP (f/2.0) dengan sudut pandangan 122 darjah.
- Kamera Swafoto: 50MP (f/2.0) dengan kemampuan rakaman video 4K@60fps.
Selain itu, siri baharu ini juga menyokong rakaman video 4K@120fps, satu peningkatan ketara berbanding model Magic7 Pro sebelum ini.
Teknologi Penstabilan Imej dan Enjin AI Termaju
Salah satu ciri paling mengagumkan ialah sistem penstabilan imej optikal (OIS) pada kamera telefoto yang mencapai tahap penstabilan CIPA 5.5. Gred ini setanding dengan kamera bertaraf profesional, menjadikan Honor Magic8 Pro mempunyai kamera telefon pintar paling stabil di pasaran.
Honor turut memperkenalkan tiga algoritma pengimejan baharu:
- Night Engine: Mengurangkan pendedahan berlebihan (overexposure) dan mengekalkan ketepatan warna dalam cahaya rendah.
- Stability Engine: Bekerjasama dengan OIS untuk menawarkan kestabilan imej tahap CIPA 5.5.
- Portrait Engine: Menghasilkan potret yang lebih hidup dengan tona kulit semula jadi serta pilihan panjang fokus baharu (23mm hingga 170mm).
Pemerhatian peringkat awal kami juga mendapati gabungan perkakasan dan perisian ini menunjukkan prestasi cemerlang. Keupayaan zum 100x peranti ini terbukti apabila ia mampu memperlihatkan imej Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Shah Alam) dengan jelas dari Menara Merdeka 118 yang jaraknya kira-kira 21km radius walaupun cuaca sedikit berjerebu pada ketika itu.
Bagi situasi pencahayaan rendah pula, ia mampunya menyerlahkan banyak perincian daripada kawasan bayang-bayang sambil mengekalkan julat dinamik yang baik.
Secara keseluruhannya, Honor Magic8 Pro tampil sebagai sebuah peranti fotografi yang sangat versatil, terutamanya bagi pengguna yang mementingkan kualiti zum dan prestasi malam.
Melalui penstabilan gred profesional dan sensor 200MP yang besar, telefon pintar baharu Honor ini menetapkan satu tanda aras baharu bagi fotografi mudah alih menjelang tahun 2026. Pelancaran rasmi di Malaysia pada 27 November ini pastinya dinantikan oleh peminat fotografi mudah alih.













