HONOR, telah mengesahkan akan memperkenalkan dua peranti baharu di pentas antarabangsa pada Mac ini. Peranti yang dimaksudkan, telefon pintar boleh lipat Magic V6 dan sebuah peranti unik yang dikenali sebagai ‘Telefon Robot’ (Robot Phone).
Pengumuman ini dijadualkan berlangsung sempena pameran Mobile World Congress (MWC) 2026 di Barcelona.
Walaupun pameran perdagangan tersebut bermula secara rasmi pada 2 Mac 2026, HONOR akan menganjurkan acara pelancaran mereka sehari lebih awal, iaitu pada 1 Mac 2026 jam 1:00 tengah hari waktu tempatan (CET).
Bagi peminat teknologi di Malaysia, acara ini boleh disaksikan pada jam 8:00 malam pada tarikh yang sama.
Magic V6: Peningkatan Spesifikasi dan Kuasa Bateri

Magic V6 merupakan kesinambungan kepada model Magic V5 yang dilancarkan tahun lepas. Sebelum ini ia dikenali sebagai percubaan berani HONOR untuk menghasilkan peranti boleh lipat paling nipis di dunia.
Berdasarkan maklumat awal yang tertiris, Magic V6 dijangka menawarkan kapasiti bateri yang jauh lebih besar berbanding model sebelumnya.
Laporan tersebut mendakwa kapasiti bateri mungkin melebihi 7,000mAh. Peningkatan ketara berbanding Magic V5 pasaran China (6,100mAh) atau versi pasaran Malaysia (5,820mAh). Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan kapasiti ini akan diselaraskan semula untuk pasaran global.
Antara spesifikasi lain yang dijangka melengkapkan Magic V6:
- Cip Pemprosesan: Dikuasakan oleh Snapdragon 8 Elite Gen 5.
- Kamera: Kemungkinan hadir dengan lensa 200MP untuk menyaingi siri Samsung Galaxy Z Fold.
- Reka Bentuk: Bateri baharu dilaporkan lebih nipis dan ringan.
Telefon Robot: Inovasi Gimbal Berasaskan AI
Selain peranti boleh lipat, tumpuan juga terarah kepada ‘Telefon Robot’. Peranti ini pernah diperlihatkan semasa acara User Carnival di China dan pameran CES 2026.
Secara asasnya, ia merupakan telefon pintar yang dilengkapkan dengan modul kamera gergasi pada bahagian belakang yang berfungsi seperti gimbal.
Modul kamera ini boleh berputar untuk melihat dan berinteraksi dengan persekitaran seolah-olah seorang manusia, selaras dengan usaha syarikat untuk membina ekosistem peranti berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Walaupun HONOR menjanjikan pengalaman penggunaan (hands-on) peranti ini di MWC 2026, spesifikasi penuh dan tarikh jualan rasmi masih belum didedahkan memandangkan sifat peranti ini yang agak eksperimental.
Pelancaran ini menandakan komitmen berterusan HONOR dalam memperluaskan inovasi teknologi mudah alih mereka di peringkat global.













