Maklumat awal mengenai spesifikasi peranti boleh lipat generasi seterusnya daripada Honor, Magic V6 telah mula diperkatakan di arena teknologi global.
Menurut laporan terkini dari pentiris maklumat terkenal, telefon pintar boleh lipat ini dijangka akan dilancarkan di pasaran China pada pertengahan tahun 2026. Ia dijangka membawakan peningkatan ketara berbanding model terdahulu, Magic V5.
Honor Magic V6 dilaporkan akan dikuasakan oleh cip pemprosesan kelas atasan daripada Qualcomm, iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5. Peningkatan prestasi ini akan disokong oleh kapasiti bateri yang jauh lebih besar berbanding model sebelumnya. Honor kini sedang menguji dua konfigurasi bateri dwisel untuk peranti tersebut bagi memenuhi keperluan pasaran yang berbeza.
Menurut Digital Chat Station (DCS), Honor sedang menguji dua varian kapasiti bateri untuk Magic V6:
- Varian Pertama: Dilengkapi bateri dwisel 6,900mAh, yang berkemungkinan besar akan ditawarkan untuk pasaran antarabangsa.
- Varian Kedua: Mempunyai bateri dwisel yang lebih besar berkapasiti 7,200mAh, yang dijangka khusus untuk pasaran China.
Kedua-dua varian ini turut disahkan akan menyokong teknologi pengecasan tanpa wayar. Walaubagaimanapun kelajuan pengecasan rasmi belum didedahkan.
Selain aspek kuasa, sistem pengimejan peranti ini juga menerima penambahbaikan signifikan. Honor Magic V6 akan menampilkan kamera utama sebesar 200MP. Ia akan digandingkan dengan lensa telefoto periskop yang menawarkan zum optikal 3x. Antara ciri lain yang turut didedahkan termasuklah:
- Pengimbas cap jari yang dipasang di bahagian sisi.
- Ketahanan debu dan air yang telah dinaik taraf.
- Rekaan peranti yang ultra-nipis.
Sebagai pewaris kepada Honor Magic V5, model V6 ini dilihat cuba menetapkan tanda aras baharu dalam segmen peranti boleh lipat. Turut diketengahkan gabungan prestasi cip terkini dan kapasiti bateri yang luar biasa.
Peranti ini dijangka membuat kemunculan rasmi di China menjelang pertengahan tahun hadapan sebelum memasuki pasaran global.













