HONOR baharu sahaja memperkenalkan telefon pintar boleh lipat berbentuk cengkerangnya di China, Magic V Flip. Ia merupakan model telefon pintar boleh lipat keempat keluarannya selepas Magic V, Magic Vs, dan Magic V2. Bahagian skrin keduanya dikatakan menawarkan saiz yang paling besar dikalangan telefon pintar gaya ini dan ia memanfaatkan gegelang dwi-kameranya untuk notifikasi.

HONOR Magic V Flip menampilkan skrin dalaman 6.8-inci beresolusi 1.5K, kadar penyegaran semula skrin 120Hz, dan tahap kecerahan puncak 3,000 nits untuk kandungan HDR.

Tumpuan utama telefon pintar ini terletak pada skrin luarannya bersaiz 5-inci yang memenuhi bahagian atasnya yang boleh dilipat. Skrinnya ini merupakan paparan OLED LTPO yang mempunyai kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 1,600 nits.

Di dalamnya, ia menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Plus Gen 1 yang bergandingan dengan RAM 12GB dan storan sehingga 1TB. Ia dikuasakan oleh bateri berkapasiti 4,800mAh yang menyokong pegnecasan 66W. Untuk fotografinya pula, ia menampilkan kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 12MP dan satu kamera 50MP pada skrin dalamannya.

HONOR Magic V Flip didatangkan dengan tiga pilihan warna bersama-sama edisi terhad versi Jimmy Choo. Ia dijual pada harga CNY4,999 (~RM3,245) untuk konfigurasi paling asas. Setakat ini HONOR tidak menyatakan sama ada pihaknya sedang merancang untuk memperkenalkannya ke pasaran global atau tidak.

Tinggalkan komentar