HONOR Magic 8 Pro menarik perhatian kebelakangan ini selepas kehadiran imej hidupnya dikongsikan di arena web. Desas-desus sebelum ini mendakwa telefon pintar mercu HONOR keluaran akan datang ini mungkin mempunyai kapasiti bateri sekitar 7,000 atau 8,000 mAh.
Baru-baru ini pentiris maklumat di Weibo, JinanDigital telah berkongsikan imej hidup Magic 8 Pro yang menunjukkan ia akan dilengkapkan dengan bateri 7,200mAh. Foto berkenaan juga menunjukkan beberapa maklumat mengenainya.
Tahun ini HONOR mempunyai perancangan dari segi kapasiti bateri peranti-perantinya. HONOR Magic V5 mencuri tumpuan di pasaran dengan bateri berkapasiti 6,100mAh. Manakala HONOR X70 yang akan hadir nanti pula dikatakan akan menawarkan kapasiti bateri paling besar untuk peringkat menengah dengan 8,300mAh.
Dalam pada masa yang sama, HONOR juga sedang mempersiapkan peranti dengan bateri 10,000mAh yang akan diperkenalkan pada 2026. Pun begitu, Magic 8 Pro tetap mempunyai tarikan uniknya yang lain.
Sebagai perbandingan, HONOR Magic 7 Pro dilengkapkan dengan bateri Si/C Li-Ion, bateri Qinghai Lake generasi ketiga dengan kapasiti 5,850mAh. Ia menyokong pengecasan HONOR Super Fast 100W dan nirwayar 80W.
Dari segi kelajuan pengecasan, Magic 7 Pro berkeupayaan dipenuhkan dari 0% hingga 100% dalam tempoh kira-kira 30-35 minit. Kini dengan kemungkinan bateri yang lebih besar, kelajuan pengecasannya tersebut dijangka mungkin dipertingkatkan lagi.
Bateri yang lebih besar dijangka dapat memberikan manfaat tempoh penggunaan yang lebih panjang kepada pengguna. Ia juga amat berguna ketika sedang di dalam perjalanan yang panjang.
Berdasarkan imej yang dikongsikan itu juga turut ditunjukkan RAM 16GB, cip HONOR C1+ dan E2 serta pilihan storan sehingga 1TB. Telefon pintar baharu HONOR ini dijangka diperkenalkan secara rasmi pada pertengahan Oktober.













