HONOR secara rasminya telah mengumumkan tarikh pelancaran telefon pintar mercu baharunya, Magic 7 Pro. Pertama kali diumumkan di China pada bulan lepas, telefon pintar mercu ini akan tiba di Malaysia pada 9 Januari 2025.

Siri ini hadir dengan dua model, namun pengumuman tersebut hanya menyatakan model Pro sahaja dan mungkin model standard tidak akan hadir bersama. Telefon pintar ini didatangkan dengan perlindungan IP69 dan juga teknologi pengesanan deepfake AI terbina dalam.

Ketika dilancarkan di China, HONOR Magic 7 Pro menampilkan paparan OLED LTPO 6.8-inci beresolusi 1080 piksel dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia mempunyai kecerahan HDR 5,000 nits dan kecerahan puncak global 1,600 nits. Dikuasakan oleh pemprosesan berkuasa tinggi baharu Qualcomm Snapdragon 8 Elite, telefon pintar ini turut menyokong ketersambungan 5G, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan NFC.

Dari segi fotografi, ia menampilkan kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 50MP, dan kamera berperiskop 200MP dengan OIS dan zum optikal 3x, serta kamera hadapan 50MP dengan autofokus. Ia juga mempunyai dua mekanisme nyahkunci biometrik merangkumi imbasan wajah 3D dan juga pengimbas cap jari ultrasonik. Bateri yang digunakannya pula, 5,850mAh menyokong pengecasan berwayar 100W dan niwayar 80W.

Tinggalkan komentar