HONOR Magic 6 Pro telah berjaya menduduki tempat teratas kedudukan kamera DXOMARK. Telefon pintar terbaru keluaran HONOR berkenaan kini telah memintas kedudukan OPPO Find X7 Ultra dan Huawei Mate 60 Pro+.
Perbezaan yang membolehkan HONOR Magic 6 Pro berkenaan berada di puncak tersebut hanyalah 1 mata sahaja, iaitu 158 mata. Markah yang dicapai oleh OPPO Find X7 Ultra dan Huawei Mate 60 Pro+ pula masing-masing mempunyai 157 mata dan berkongsi kedudukan di tempat kedua.
Huawei P60 Pro pula berada di tangga ketiga dengan 156 mata, dan diikuti oleh iPhone 15 Pro Max dan iPhone 15 Pro dengan masing-masing mencatatkan 154 mata. Google Pixel 8 Pro berada di tangga ketujuh dengan 153 mata.
Calon Kamera Telefon Pintar Terbaik 2024
HONOR Magic 6 Pro mencatatkan keputusan yang cemerlang di dalam ujian DXOMARK dan ia terbukti hampir sama seperti pengalaman kami menggunakan kamera pada telefon pintar berkenaan.
Hanya bahagian ‘Pratonton’ (Preview) dan ‘Artifak’ (Artifact) telefon pintar berkenaan sahaja yang tidak mencatatkan markah yang tinggi seperti bahagian-bahagian lain di dalam ujian DXOMARK tersebut. HONOR Magic 6 Pro amat cemerlang untuk tangkapan gambar di dalam bangunan dan juga di luar. Malah, ia juga mencatatkan markah yang bagus untuk tangkapan imej di dalam keadaan kurang pencahayaan.
DXOMARK juga menyatakan warna yang dihasilkan untuk foto dan videonya terang dan nampak semulajadi. Turut dipuji perincian dalam kebanyakan tetapan zum dan autofokus yang mantap dan pantas. Imej potret juga menerima pujian bersama-sama prestasinya untuk suasana imej berlatar lebar. Untuk julat dinamik lebar dan dedahan wajah tepat juga dinyatakan dapat dikendalikan dengan baik olehnya.
Pun begitu, tiada apa yang sempurna di dunia ini. HONOR Magic 6 Pro mempunyai sedikit kekurangan seperti yang dinyatakan melalui hasil pengujian tersebut. Antaranya pengolokan perincian yang canggung di dalam foto, zum dan video, serta perbezaan kejituan di antara bingkai video ketika rakaman sedang dilakukan.
HONOR Magic 6 Pro akan dilancarkan di Malaysia pada hari ini dan anda yang berminat boleh mengikuti siaran langsung majlis pelancarannya menerusi laman web rasmi HONOR Malaysia.













