Honor 8 Pro dijangka akan tiba ke pasaran Malaysia sekitar bulan ini dan setakat ini, harga untuk telefon pintar ini telah pun didedahkan. Diletakkan pada harga RM1,999, Honor 8 Pro kini sudah boleh dibuat pra-tempahan.
Secara asasnya, telefon pintar ini adalah model variasi global telefon pintar Honor V9 yang eksklusif untuk pasaran di China. Ia menampilkan paparan 5.7-inci 1440p, chipset HiSilicon Kirin 960 processor (jenis sama yang terdapat pada telefon pintar Huawei Mate 9 dan Huawei P10) RAM 6GB, storan dalaman 64GB yang boleh dipertingkatkan melalui slot mikroSD dan juga bateri 4,000mAh.
Untuk kameranya pula, telefon pintar ini dilengkapi dengan sistem dwi-kamera pada kamera belakangnya, sama seperti yang terdapat pada Honor 8 – iaitu 12MP dengan penderia monokrom dan 12MP untuk RGB (warna). Manakala untuk kamera hadapannya pula, ia menawarkan kamera 8MP.
Honor 8 Pro hadir dengan sistem operasi EMUI 5.1 yang merupakan sistem operasi berasaskan Android 7.0 Nougat yang menawarkan antaramuka yang lebih menarik. Untuk rekaan luarannya pula, ia diberikan kemasan logam pada keseluruhan permukaannya. Berbeza dengan Honor 8 yang menawarkan kemasan licin Aurora Glass.
Telefon pintar ini boleh dipra-tempah melalui halaman Facebook Huawei Honor IOI City Mall dan pengguna yang melakukan pra-tempahan awal berpeluang menerima hadiah istimewa berserta baucar tunai.
Sumber berita diperoleh dari Facebook Huawei Honor IOI City Mall













