HONOR secara rasminya telah memperkenalkan kesinambungan kepada siri telefon pintar 200 keluarannya menerusi barisan baharu siri HONOR 300 yang hadir dengan model standard, Pro dan Ultra.
Ketiga-tiga model ini menampilkan Harcourt Portrait yang diinspirasikan daripada gaya pencahayaan studio fotografi terkemuka di Paris untuk mod potretnya. Untuk swafoto pula, kesemua model-model ini menggunakan kamera hadapan 50MP f/2.1.

Untuk HONOR 300 Pro, ia menampilkan paparan OLED 6.78-inci beresolusi 2,700 x 1224 piksel dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 4,000 nits. Ia dikuasakan oleh pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 dan menawarkan pilihan RAM 12GB atau 16GB dengan pilihan storan 256GB atau 512GB.

Kamera belakangnya pula terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera telefoto Sony IMX856 50MP 3X zum optikal dan kamera ultra lebar 12MP dengan autofokus. HONOR MagicOS 9.0 berasaskan Android 15 yang digunakannya pula menawarkan alatan pengimejan termaju AI seperti membuang objek, mengemaskan foto dan lain-lain suntingan dipacu AI. Telefon pintar ini memuatkan bateri berkapasiti 5,300mAh dengan pengecasan berwayar 100W melalui USB-C dan nirwayar 80W.
Seterusnya HONOR 300 model standard pula menggunakan pemprosesan Snapdragon 7 Gen 3 bersama-sama RAM 16GB dan storan sehingga 512GB. Ia masih mempunyai kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 12MP dan swafoto 50MP, namun tidak menawarkan kamera telefoto. Baterinya pula masih sama kapasiti pada 5,300mAh dengan pengecasan berwayar 100W.
Memperkenalkan HONOR 300 Ultra
Model tertinggi di dalam siri ini, HONOR 300 Ultra dikuasakan oleh Snapdragon 8 Gen 3 menawarkan RAM sehingga 16GB dan menjadi satu-satunya model dengan storan 1TB. Paparan AMOLED 6.78-inci yang melengkungnya menyamai model Pro, cuma ia dibezakan dengan ciri pengimbas cap jari ultrasonik.

Kapasiti bateri dan kelajuan pengecasannya juga sama dengan model Pro iaitu 5,300mAh selain turut menawarkan ciri kerintangan debu dan air IP65 dan ketersambungan dwi-satelit. Untuk fotografinya, ia menampilkan kamera berlensa periskop IMX858 50MP f/3.0 dengan zum optikal 3.8X, bersama-sama kamera utama IMX906 50MP dengan OIS dan kamera ultralebar 12MP.

Di China, model HONOR 300 berharga dari CNY2,499 (~RM1,532), Pro pula dari CNY3,999 (~RM2,452), dan Ultra dari CNY4,199 (~RM2,574). HONOR setakat ini tidak memaklumkan sama ada ketiga-tiga model ini akan menemui pengguna pasaran antarabangsa atau tidak.