Gergasi automotif Jepun, Honda, telah memperkenalkan motosikal elektrik penuh pertama mereka yang dinamakan WN7, menandakan langkah bersejarah syarikat itu dalam industri kenderaan elektrik dua roda. Motosikal baharu ini kini dibuka untuk pra-tempahan di pasaran Eropah dengan pengeluaran dijangka bermula tahun ini dan penghantaran pada 2026.
Nama WN7 diambil daripada gabungan huruf ‘W’ yang diinspirasikan konsep pembangunan “Be the Wind”, ‘N’ mewakili naked, dan angka ‘7’ merujuk kepada kelas kuasa motosikal tersebut. Motosikal ini pertama kali dipamerkan di EICMA 2024 sebagai EV FUN Concept sebelum mengambil bentuk sebenar untuk dilancarkan ke pasaran.
Dari aspek reka bentuk, WN7 menggunakan gaya ‘naked bike’ dengan muncung depan tajam dilengkapi lampu LED nipis, panel badan berangka, serta penampilan bersih dan tidak berserabut. Ia turut dipasang dengan skrin TFT lima inci, sambungan RoadSync, dan menu eksklusif khas untuk motosikal elektrik.
Prestasi motosikal ini setara dengan enjin pembakaran dalaman 600cc dengan motor elektrik berkuasa 18kW. Ia dilengkapkan dengan sistem penyejukan air yang menghasilkan tork 100Nm. Motosikal ini dikuasakan bateri litium-ion tetap yang mampu memberikan jarak perjalanan melebihi 130 kilometer dengan berat tanpa muatannya, 217 kilogram.
Bagi sistem pengecasan, WN7 serasi dengan CCS2 yang membolehkan pengecasan pantas dari 20 peratus ke 80 peratus dalam masa 30 minit. Motosikal ini juga boleh dicas menggunakan pengecas dinding 6kVA yang mengambil masa tiga jam untuk pengecasan penuh.
Honda dijangka mengadakan pelancaran penuh WN7 pada acara EICMA 2025 dengan butiran lanjut mengenai spesifikasi dan harga akan diumumkan ketika itu.