HMD Global baru-baru ini telah mengumumkan sejumlah peranti baru bersempena acara IFA 2019. Dua daripadanya adalah telefon pintar Nokia 7.2 dan Nokia 6.2. Masing-masing merupakan kesinambungan dari model yang terdahulu.
Nokia 7.2
‘Pewaris’ kepada Nokia 7.1 hadir dengan paparan PureDisplay HD+ Penuh 6.3-inci bersama-sama takuk berbentuk titisan air yang menempatkan kamera swafoto 20MP f/2.
Di dalamnya, telefon pintar ini menawarkan cipset Snapdragon 660 bersama-sama bateri berkapasiti 3,500mAh. Sistem operasi yang digunakan adalah Android 9 Pie.
Tarikan utama telefon pintar ini terletak pada tetapan tri-kamera pada kamera utamanya. Ia mengandungi 48MP f/1.79 + 8MP f/2.2 + 5MP berpenderia kedalaman. Menurut HMD Global, keempat-empat lensa pada telefon pintar ini menggunakan kanta ZEISS yang membolehkan aplikasi kameranya melaraskan foto yang diambil kepada kesan khas bokeh.
Nokia 6.2
Sepertimana Nokia 7.2, Nokia 6.2 merupakan kesinambungan dari Nokia 6.1. Ianya hadir dengan paparan HD+ Penuh 6.3 inci, bateri berkapasiti 3,500mAh dan sistem operasi Android 9 Pie. Cipset yang digunakannya adalah Qualcomm Snapdragon 636.
Tetapan kamera utamanya mempunyai ciri yang sama dengan Nokia 7.2 iaitu 48MP f/1.79 + 8MP f/2.2 + 5MP berpenderia kedalaman. Manakala untuk kamera swafotonya, ia berbeza kerana menawarkan kamera 8MP f/2. Bagaimanapun, tiada kanta ZEISS disediakan untuk Nokia 6.2.
Nokia 7.2 dan Nokia 6.2 menawarkan dua pilihan konfigurasi RAM dan storan dalaman. Nokia 7.2 menawarkan pilihan 4GB + 64GB dan 6GB + 64GB yang masing-masing ditetapkan pada harga EUR299 (~RM1385) dan EUR349 (~RM1617).
Dijangkakan, Nokia 7.2 bakal memasuki pasaran sekitar hujung September ini manakala Nokia 6.2 pula bakal hadir pada Oktober. HMD Global setakat ini masih lagi belum menyatakan harga dan tarikh keberadaan kedua-dua model telefon pintar Nokia terbaru ini.
Sumber berita diperoleh dari XDA Developers













