HMD secara rasminya telah mengumumkan harga untuk telefon pintar gaya katup retro Barbie untuk pasaran Malaysia. Menurut laman web rasminya, ia kini boleh dipra-tempah menerusi Lazada pada harga istimewa RM609, lebih rendah dari harga asalnya RM699.
Barbie Phone diumumkan pada hujung Ogos lalu dengan menampilkan warna-warni merah jambu. Ia mempunyai skrin luaran 1.77-inci di bawah permukaan reflektifnya untuk mengambil swafoto menggunakan kamera luaran 0.3MP yang disediakannya. Apabila dibuka, telefon ini mempunyai paparan 2.8-inci dengan pad kekunci T9 yang boleh bercahaya di dalam gelap.
Walaupun ia kelihatan “amat retro” kerana kekurangan sokongan penggunaan data dalam talian, peranti ini masih lagi mempunyai beberapa ciri-ciri moden. Ia termasuklah port USB-C untuk pengecasan dan pemindahan data, Bluetooth 5.0 dan aplikasi kesejahteraan digital terbina dalam.
Telefon bimbit ini yang mempunyai RAM 64MB, dan storan 128GB ini juga menawarkan sokongan radio FM, main semula MP3 dan bicu audio 3.5mm. Tidak ketinggalan, aplikasi permainan mudah alih popular yang menjadi siualan anak muda dahulu kala, Snake turut disediakan.
Barbie Phone juga didatangkan dengan pelbagai aksesori seperti cover belakang yang boleh ditukar-tukar, kabel USB-C berwarna pink, dan tali strap telefon bermanik yang boleh dihias. Juga disediakan bersama dengan telefon ini pelekat-pelekat dan manik-manik yang boleh dilekatkan untuk dihiaskan oleh pengguna.













