Utama Teknologi GovTech Kementerian Kewangan Ingatkan Orang Ramai Hati-Hati dengan Penipuan Bantuan Tunai SARA RM100

Kementerian Kewangan Ingatkan Orang Ramai Hati-Hati dengan Penipuan Bantuan Tunai SARA RM100

126
0

Kementerian Kewangan (Ministry of Finance, MOF) telah mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya berwaspada dengan pautan dan mesej palsu di dalam talian yang mendakwa sebagai bantuan tunai one-off RM100 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (SARA).

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying menjelaskan tiada pendaftaran atau permohonan diperlukan untuk menerima bantuan tersebut. Ia akan dikreditkan secara automatik kepada semua pemilik MyKad yang layak berusia 18 tahun dan ke atas bermula dari 31 Ogos 2025.

Bantuan berjumlah RM100 merupakan sebahagian daripada pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu. Turut diumumkan penangguhan kenaikan kadar tol untuk 10 lebuhraya dan pengurangan sementara harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter sebagai usaha kerajaan inisiatif menangani kos sara hidup.

Dalam pada masa yang sama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menggesa orang ramai memanfaatkan perkhidmatan talian penting 997 yang baharu diperluaskan. Perkhidmatan tersebut bertujuan membantu orang ramai yang berhadapan dengan masalah penipuan. Ia kini beroperasi 24 jam di bawah Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dan diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri berkenaan juga mendedahkan terdapat lebih dari 46,000 iklan berkaitan penipuan yang dikesan di Malaysia untuk tahun ini sahaja dengan Facebook merangkumi sekitar 80% daripadanya.

Beliau memetik pengalaman beliau sendiri yang menjadi mangsa penyamaran iklan palsu menawarkan buku percuma. Taktik tersebut masih lagi terus tersebar sungguhpun usaha membanterasnya telah pun dilaksanakan. Beliau kesal kerana Meta membenarkan iklan penipuan ini muncul berulang kali walaupun usaha penguatkuasaan telah pun dijalankan.

Tinggalkan komentar