Seiring dengan pelancaran Samsung Galaxy Z Fold 3 dan Galaxy Z Flip 3 secara rasminya di pasaran tempatan, aksesori rasmi berkaitan dengannya turut diumumkan.
Antaranya termasuklah pena stylus S Pen Pro dan S Pen Fold Edition yang diumumkan masing-masing berharga RM499 dan RM199. Untuk makluman, pena stylus S Pen Fold Edition merupakan aksesori khusus telefon Samsung Galaxy Z Fold 3.
Apa yang menarik, pena stylus S Pen Fold Edition ini dilengkapkan dengan sistem penyerap tekanan terbina di dalamnya. Selain itu, mata penanya pula turut disertakan dengan lapisan getah bagi tujuan perlindungan permukaan skrin.
Ciri yang sama juga disertakan pada S Pen Pro. Namun, ia dibezakan dengan ciri tambahan lain padanya iaitu sokongan Bluetooth. Aksesori pena stylus Samsung S Pen Pro ini tidak tehad pada satu-satu peranti. Ia disokong pada peranti siri Galaxy S21 Ultra, siri Galaxy Note 20, dan siri Galaxy Tab S7.