Sebelum ini ketika memperkenalkan MacBook Pro 14 dan 16 pada tahun lepas, Apple telah memperkenalkan kain pengilap berharga RM99. Tindakan ini menimbulkan pelbagai persoalan di dalam dunia teknologi pada ketika itu.
Apple dilihat mengulangi tindakan yang sama pada kali ini dengan memperkenalkan Kabel Thunderbolt 4 ‘Pro’ yang berharga RM649 sepanjang 1.8 meter. Manakala bagi kabel sepanjang 3 meter pula, harganya mencecah sehingga RM799.
Kabel bergred ‘pro’ ini mempunyai bahagian luaran beranyam untuk mengelakkannya dari bersimpul. Untuk pemindahan data, kabel ini berkeupayaan menyokong pemindahan data pada kelajuan sehingga 40Gbps.
Menurut Apple, kabel ini juga menyokong isyarat video DisplayPort dan juga penghantaran kuasa sehingga 10W. Menariknya, Apple mengetengahkan logo Thunderbolt pada kabel berkenaan bagi membezakannya dengan kabel-kabel lain.
Ini kerana, untuk mendapatkan persijilan Thunderbolt 4 dari Intel bukannya mudah kerana Intel meletakkan keperluan yang tinggi untuk memenuhi keperluan spesifikasinya.
time to buy Apple's $159 Thunderbolt 4 cables. You can clean them with the $19 Apple cleaning cloth pic.twitter.com/CS6VwTbRPf
— Tom Warren (@tomwarren) March 8, 2022
Bagaimanapun, harga yang diletakkan oleh Apple untuk kabel Thunderbolt 4 ini adalah terlalu tinggi. Malah, harga jualannya juga terlalu tinggi walaupun di pasaran Amerika Syarikat. Di sana, harga bagi kabel 3 meter adalah $159, manakala 1.8 meter pula berharga $129.
Sebagai perbandingan, harga kabel Thunderbolt 4 berkualiti baik seperti ORICO berharga RM259 dengan panjangnya 2 meter. Amat jauh perbezaan harganya dengan kabel Thunderbolt 4 Pro dari Apple.
Kabel Thunderbolt ini juga tidak disertakan bersama-sama dengan pembelian Mac Studio. Bagaimanapun, Studio Display menyediakan kabel Thunderbolt sepanjang 1 meter. Namun tidak menyatakan sama ada kabel berkenaan adalah Thunderbolt 4 atau bukan.













