Apple Malaysia kini telah menyenaraikan harga Apple AirPods yang terbaru untuk pasaran Malaysia. Fon telinga tanpa wayar dari syarikat berpangkalan di Cupertino ini diletakkan pada harga RM849 di kedai atas talian Apple Malaysia. Bagaimanapun, sepertimana yang dijangkakan produk berkenaan masih belum bersedia untuk dijual.

Pada harga RM849, pakej ini merangkumi sepasang AirPods berserta bekas pengecasnya yang mana mampu dioperasikan sehingga 24 jam untuk sekali pengecasan. Turut disediakan kabel pengubah Lightning ke USB untuk kemudahan pengguna sewaktu mengecas.

Harga yang ditawarkan ini boleh dikatakan sebagai mahal jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan untuk pasaran US – $159 (bersamaan RM670). Malah, harga untuk pasaran Singapura juga lebih rendah dari harga peranti ini di Malaysia, SGD238 yang bersamaan RM719.

Fon telinga tanpa wayar Apple AirPods julung kali diperkenalkan pada awal September 2016 lalu bersempena majlis pelancaran Apple iPhone 7. Telefon pintar kebanggaan Apple berkenaan dilengkapi dengan cip Apple W1 yang memberikan keupayaan sambungan tanpa wayar terbaik dengan peningkatan terhadap kualiti bunyi. Cipset W1 turut meningkatkan kecekapan penggunaan bateri serta mampu memberikan tempoh mendengar muzik sehingga 5 jam untuk sekali cas.

Apa yang membuatkan AirPods unik adalah keupayaannya untuk digunakan bersama dengan peranti-peranti Apple lain tanpa pengguna perlu bersusah payah melakukan tetapan secara fizikal seperti penggunaan fon telinga konvensional.

Cuma yang mungkin membuatkan peminat Apple sedikit ralat adalah kelewatan peranti ini untuk hadir ke pasaran. Pada asalnya ia dijadualkan bakal hadir pada lewat Oktober lalu. Namun, sehingga kini masih lagi tiada khabar terbaru tentang fon telinga ini dan melalui penyenaraian harga ini, barangkali produk akan hadir sedikit masa lagi.

Sumber berita diperoleh dari Apple Store

2 KOMEN

Tinggalkan komentar