Kerajaan kini dalam fasa akhir untuk melaksanakan sekatan penggunaan media sosial bagi individu di bawah umur 16 tahun. Jangkaan pelaksanaannya disasarkan bermula pada pertengahan tahun 2026.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan langkah ini sedang diusahakan bersama penyedia platform antarabangsa. Inisiatif ini bertujuan melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada risiko keselamatan dalam talian yang semakin membimbangkan.
Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang giat mengadakan perbincangan. Kerjasama dengan syarikat-syarikat penyedia platform media sosial diperlukan untuk merealisasikan mekanisme perlindungan yang bersesuaian dengan umur pengguna.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, “Menjelang pertengahan tahun, kita akan memperoleh kerjasama daripada semua platform media sosial untuk menyekat penggunaan media sosial kepada mereka yang berumur 16 tahun ke atas.”
Selain itu, kerajaan menegaskan bahawa kegagalan mematuhi Akta Keselamatan Dalam Talian Malaysia akan membawa kepada tindakan penguatkuasaan yang tegas.
Baru-baru ini akses kepada perkhidmatan kecerdasan buatan ‘Grok’ telah disekat di peringkat tempatan akibat ketidakpatuhan. Pihak SKMM juga sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap platform X berikutan kekurangan langkah keselamatan dalam pengendalian aplikasinya.













