Penggunaan dompet digital seperti Google Wallet dianggap sebagai salah satu kaedah pembayaran yang selamat kerana ia tidak menyimpan atau memasukkan maklumat kad debit atau kredit anda secara dalam talian. Dompet digital tersebut menggunakan komunikasi medan dekat (near field communication, NFC) untuk menghantar maklumat pembayaran anda.
Bagi mengekalkan tahap keselamatannya, aplikasi Google Wallet akan menghentikan sokongan terhadap telefon dan jam tangan pintar bermula pada bulan hadapan.
Berdasarkan dokumen sokongan yang diterbitkannya, Google telah mengumumkan bermula pada 10 Jun ini, Google Wallet hanya akan berfungsi pada telefon pintar dengan Android 9 dan ke atas. Manakala untuk jam tangan pintar pula, ia perlu menggunakan Wear OS 2.x dan ke atas.
Google juga menyatakan versi Android yang lebih rendah dari 9 juga tidak lagi menerima kemaskini keselamatan. Justeru, meningkatkan lagi risiko keselamatan peranti-peranti yang menggunakannya.
Matlamat utama sokongan pengemaskinian sokongan keselamatan ini bertujuan bagi memastikan segala transaksi yang dijalankan dapat dilakukan dengan selamat. Peranti-peranti usang tidak dapat memenuhi keperluan keselamatan sistem dalam melindungi dari ancaman dan serangan siber moden yang kian kompleks.
Android 8 mula tidak menerima kemaskini keselamatan sejak tahun 2021 dan penggunanya perlu menukar ke peranti yang lebih baharu jika ingin meningkatkan tahap keselamatan. Dilancarkan pada tahun 2018, Android 9 Pie mula diperkenalkan pada model-model telefon pintar tahun berkenaan seperti Samsung Galaxy S9, HONOR 8x, vivo V9, OPPO Find X dan sebagainya.