Perkhidmatan suntingan video Google Vids dilancarkan pada tahun lepas sebagai sebahagian daripada alatan produktiviti Google Workspace dengan penambahan berbayar. Kini, Google mengumumkan kemaskini perkhidmatan tersebut dengan ciri berkuasa AI baharu dan penawaran versi asas secara percuma.
Salah satu penambahan premiumnya, sokongan penjanaan imej-ke-video yang dikuasakan oleh Veo 3. Sama seperti alatan yang tersedia di dalam Gemini dan Flow, ciri baharu ini membolehkan pengguna mengubah imej kepada klip video berdurasi lapan saat dengan audio.
Selain dari ciri tersebut, Google turut memperkenalkan avatar AI yang membolehkan pengguna memuat naik skrip ke dalam aplikasi untuk disampaikan oleh sebuah avatar. Demonstrasi video menunjukkan sejumlah pilihan avatar AI untuk dipilih. Menurut Google, avatar-avatar ini sesuai penghasilan video bagi tujuan latihan, demonstrasi dan panduan.![]()
Google turut memperkenalkan ciri yang mengesan ayat pengisi secara automatik dan menjedakannya untuk membolehkan pengguna segera membuangnya. Selanjutnya, Google turut merancang untuk memperkenalkan pembatalan hingar dan bunyi latar pada bulan hadapan. Saiz format baharu juga dijadualkan akan tiba tidak lama lagi.
Ciri-ciri baharu ini bagaimanapun hanya ditawarkan untuk pengguna berbayar sahaja. Pengguna Google Workspace percuma hanya menerima versi ‘ceroi’ tanpa ciri-ciri istimewa berkuasa AI. Bagi membantu pengguna yang baharu dengan Vids, Google telah memperkenalkan siri “Vids on Vids” yang disampaikan oleh avatar AI dari perkhidmatan yang diperkenalkan sendiri oleh Google.













