Google telah mengesahkan secara rasmi bahawa tindakan menyahkunci bootloader pada peranti Android akan menyebabkan ciri kecerdasan buatan (AI) setempat, Gemini Nano, berhenti berfungsi.

Pengesahan ini didedahkan melalui dokumen sokongan untuk pembangun, sekali gus memberikan kejelasan mengenai amalan yang telah lama disyaki oleh komuniti peminat Android.

Bagi pengguna Android yang gemar melakukan modifikasi pada peranti mereka, seperti mendapatkan akses root atau menyahkunci bootloader, ia sering kali datang dengan risiko kehilangan beberapa fungsi perisian.

Terkini, Google telah menyatakan dengan jelas dalam dokumentasi API GenAI Summarization di bawah ML Kit bahawa Gemini Nano adalah salah satu ciri yang terkesan.

Gemini Nano merupakan versi kompak model AI Gemini yang direka untuk beroperasi sepenuhnya secara setempat pada peranti tanpa memerlukan sambungan internet.

Menurut penemuan yang dibincangkan oleh AssembleDebug, pengguna yang telah menyahkunci bootloader peranti mereka akan menerima mesej ralat FEATURE_NOT_FOUND apabila cuba mengakses API tersebut.

Dokumentasi Google menyatakan:

“Ambil maklum bahawa jika bootloader peranti dinyahkunci, anda juga akan melihat ralat ini—API ini tidak menyokong peranti dengan bootloader yang telah dinyahkunci.”

Tindakan menyekat fungsi tertentu pada peranti dengan bootloader yang dinyahkunci bukanlah satu amalan baharu. Ia bertujuan untuk menghalang penggodaman dan mengehadkan akses pihak yang tidak bertanggungjawab daripada menganalisis perisian tersebut.

Sebagai contoh, sedekad yang lalu, Sony pernah melumpuhkan beberapa ciri pasca-pemprosesan kamera pada telefon Xperia yang mempunyai bootloader tidak berkunci

Walaupun tindakan Google ini tidak mengejutkan dan selari dengan amalan industri untuk tujuan keselamatan, pengesahan rasmi ini memberikan maklumat penting kepada pengguna dan pembangun. Google menegaskan bahawa pengubahsuaian sistem teras peranti Android mungkin akan mengorbankan akses kepada ciri-ciri canggih seperti Gemini Nano.

Imej cover dari Nerd’s Chalk.

Tinggalkan komentar