Google memberikan lebih tumpuan pada segmen perkakasannya dengan kemunculan Pixel C dan nampak gayanya pencapaian syarikat enjin carian ini tidak terhenti walaupun turut memperkenalkan dua jenis peranti Nexus baru-baru.

Ramai pemerhati berpendapat tindakan Google memperkenalkan tablet berkuasa Android di bawah jenama Pixel ini seperti mahu mencabar kedudukan Microsoft dan Apple melalui tablet Surface dan iPad Pro. Malah, rupa luaran dan juga papan kekunci yang boleh ditanggalkan pada Pixel juga mirip dengan kedua-dua tablet dari Microsoft dan Apple tersebut.

Rekaan premium pada luarannya merupakan kesinambungan dari jenama Pixel yang pernah hadir melalui Chromebook. Cuma bezanya kali ini Pixel C menggunakan sistem operasi Android dan bukan Chrome OS selain dari papan kekuncinya yang boleh ditanggalkan.Pixel C Depan

Ia tidak menggunakan jenama Nexus kerana ia dibina sendiri oleh Google dan bukannya binaan bersama rakan kongsi perkakasan sebagaimana yang pernah dilakukan melalui penghasilan peranti Nexus.

Dari segi spesifikasinya, peranti ini menampilkan skrin sentuh 10.2 inci dengan paparan berkualiti Retina dengan 308 ppi. Sokongan arahan suara penggunanya pula dibantu dengan kehadiran empat mikrofon jarak jauh.

Untuk perkakasan dalamannya pula, ia diperkuatkan dengan pemprosesan empat teras Nvidia X1 dengan kuasa grafik Maxwell dan RAM sebanyak 3 GB.

Seperti yang telah dijangkakan, ia dicas menggunakan labuhan USB-C. Manakala untuk paparan penunjuk tahap bekalan kuasanya sama seperti rekaan yang digunakan pada peranti Pixel yang terdahulu.Bar Lampu Bateri Pixel C

Rekaan papan kekuncinya yang menjadi kebanggaan Google ini boleh melekat pada tablet menggunakan magnetnya. Ia juga boleh dilaraskan mengikut kehendak pengguna dan ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dilakukan pada iPad Pro. Malah, ia tidak memerlukan ‘tongkat’ seperti Surface.papan kekunci Pixel C

Selain dari itu, berbeza dengan papan kekunci peranti Microsoft dan Apple, Pixel C bersambungan dengan papan kekuncinya melalui Bluetooth. Oleh itu, ia boleh digunakan tanpa perlu bersambungan dengan peranti induknya. Bekalan kuasanya pula hadir secara tanpa wayar melalui cara pengecasan induktif.

Pixel C mula dijual pada harga permulaan USD 499 (RM 2219.70) bagi model 32 GB dan USD 599 (RM2664.53) bagi model 64 GB. Untuk papan kekunci, pengguna perlu membeli secara berasingan pada harga USD 149 (662.80).

Google tidak menyatakan secara spesifik tarikh ianya mula dipasarkan. Namun, ia dibayangkan akan hadir pada penghujung tahun ini.

-Sumber berita dan foto diperoleh dari AnandTech

Tinggalkan komentar