Aplikasi Google Read Along yang bertujuan membantu kemahiran membaca kanak-kanak sekolah rendah kini boleh didapati di 180 buah negara termasuk Malaysia.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan hari ini, aplikasi ini menggunakan teknologi teks-ke-pertuturan dan pengecaman pertuturan oleh Google. Buat masa ini, Read Along menyokong 9 jenis bahasa iaitu:
• Inggeris
• Sepanyol (Español)
• Portugis (Português)
• Hindi (हिंदी)
• Bangla (বাংলা)
• Urdu (اردو)
• Telugu (తెలుగు)
• Marathi (मराठी)
• Tamil (தமிழ்)
Melalui aplikasi ini, kanak-kanak akan dibantu oleh “rakan membaca di dalam aplikasi” yang bernama Diya. Menurut Google, Diya akan memberikan galakan dan dorongan kepada anak-anak sepanjang proses pembelajaran membaca anak-anak. Selain itu, cara membunyikan dan nahu sesuatu perkataan atau ayat juga akan ditunjukkan apabila anak-anak mengetik pada animasi Diya.
Google turut menambah data suara yang diperoleh Read Along akan dianalisa pada peranti dan tidak akan dihantar ke pelayan Google. Aplikasi ini juga boleh digunakan secara luar talian (offline). Anda hanya memerlukan sambungan ke rangkaian apabila ingin memuat turun cerita-cerita baru untuk anak-anak anda membaca.
Aplikasi yang asalnya dinamakan sebagai Bolo sewaktu pelancarannya di India pada Mac 2019 lalu ini juga tidak memerlukan pendaftaran masuk untuk menggunakannya. Apa yang penting adalah, ianya bebas dari sebarang bentuk pengiklanan di dalam aplikasinya.
Di dalam keadaan penularan wabak COVID-19 ini yang memaksa pelajar-pelajar duduk di rumah, Google telah melanjutkan akses percuma ke fungsi-fugnsi lanjutan Google Meet kepada pelanggan G Suite dan G Suite for Education sehingga 30 September 2020.
Google juga turut melancarkan hab Teach from Home dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ianya merupakan sebuah hab sumber pembelajaran jarak jauh bagi membantu mempermudahkan proses pembelajaran di antara pendidik dengan pelajar-pelajar di rumah.
Muat turun aplikasi Read Along di Google Play Store













