Google akan membawakan permainan-permainan Android ke Windows pada tahun depan melalui aplikasi Google Play Games khusus untuk sistem operasi dari Microsoft berkenaan. Diacah ketika acara The Game Awards, Google buat masa ini dilihat secara mengusahakannya secara bersendirian tanpa penglibatan dengan Microsoft.
Malah, Google juga tidak menyediakan perincian lebih lanjut tentang bagaimana permainan-permainan Android tersebut akan boleh dimainkan secara natif pada Windows melalui aplikasi berkenaan.
Tujuan aplikasi berkenaan diperkenalkan adalah membolehkan para pemain menyelaraskan kandungan permainan antara peranti yang merangkumi telefon Android, tablet, Chromebook dan juga PC Windows.
Ini bukan sekadar akses ke katalog permainan yang disediakan, malah ia dilanjutkan kepada menyambung sesi permainan Android berkenaan ke PC Windows dan juga yang sebaliknya.
Amat menarik untuk dilihat di sini memandangkan Google bergerak secara sendirian tanpa penglibatan Microsoft sebagaimana yang dilakukan oleh Amazon melalui integrasi Amazon Appstore pada Windows 11.
Dalam pada masa yang sama, tiada sebarang maklumat mengenai bilakah Google akan membawakan seluruh Google Play ke dalam Windows. Pun begitu, mempunyai aplikasi Google Play Games secara natif merupakan satu permulaan yang baik.













