Google ketika acara pelancaran Made by Google malam tadi secara rasminya telah mengumumkan barisan telefon pintar mercu baharunya. Antara yang diumumkan Pixel 10 Pro dan Pixel 10 Pro XL.
Kedua-dua telefon pintar ini dikuasakan oleh pemprosesan Tensor G5 baharu yang dibina secara bersama dengan DeepMind untuk menyerlahkan pengalaman AI generatif menerusi Gemini Nano.
Model-model baharu ini memperkemaskan lagi rekabentuk tipikal Pixel dengan kerangka logam bergilap, kemasan belakang kaca matte lembut, dan bezel kamera bebentuk potongan berlian.
Ditawarkan dengan pilihan warna Obsidian, Porcelain, Moonstone, dan Jade, model Pro XL menyediakan paparan yang lebih besar 6.8-inci berbanding Pro 6.3-inci. Kedua-duanya menampilkan panel Super Actua dengan bezel nipis, kecerahan puncak 3,300 nits, kadar penyegaran semula boleh suai sehingga 120Hz, dan perlindungan Gorilla Glass Victus 2.
Sokongan keselamatan cap jari dan pengecaman wajah turut disediakan untuk memberikan keselamatan, kemudahan dan keselesaan pengguna.![]()
Menurut Google, audio pada kedua-dua model ini dinaik taraf dengan penambahbaikan pada pembesar suara stereonya untuk memberikan kesan bass yang lebih padat. Tidak ketinggalan, penarafan kerintangan debu dan air IP68 juga diberikan pada Pixel 10 Pro dan Pixel 10 Pro XL baharu.
Di dalamnya, kedua-dua telefon pintar ini dilengkapkan dengan pemprosesan baharu Google Tensor G5, bergandingan dengan RAM 16GB dan pilihan storan bermula dari 128GB hingga 1TB. Model-model ini juga memperkenalkan storan Zoned UFS pada beberapa model pasaran terpilih untuk memuatkan aplikasi lebih pantas.
Tempoh penggunaan bateri model-model ini boleh dipanjangkan sehingga 30 jam dalam sekali cas. Baterinya pula 4,870mAh untuk Pixel Pro dan 5,200mAh untuk Pixel Pro XL dengan masing-masing mempunyai sokongan pengecasan berwayar 30W dan 45W. Sistem pengecasan nirwayar bermagnetik baharu Pixelsnap juga diperkenalkan dengan kelajuan pengecasan sehingga 25W untuk model XL.
Ciri Fotografi baharu Pro Res Zoom
Pixel Pro dan Pixel Pro XL didatangkan dengan tetapan tri-kamera yang mengandungi kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 48MP bersudut medan pandang 123-darjah dan makro fokus, serta kamera telefoto 48MP. Di hadapannya pula disediakan kamera 42MP dengan autofokus dan sudut pandangan lebar 103-darjah. Sensor suhu juga kini kembali pada kedua-dua model tersebut.
Ciri diketengahkan kali ini Pro Res Zoom, yang eksklusif pada model-model Pro menawarkan zum sehingga 100x menggabungkan keupayaan perkakasan optikal bersmaa-sama model pengimejan AI generatif baharu.
Google mendakwanya sebagai model AI paling termaju yang pernah diintegrasikan ke dalam sistem kameranya, menjanjikan kejituan imej pada tahap zum paling ekstrem. Pixel baharu ini juga akan menjadi telefon pintar Android pertama yang didatangkan dengan Pentauliahan Kandungan (Content Credentials) C2PA secara natif di dalam aplikasi kamera. Ia berperanan sebagai tera air (watermark) digital untuk semua foto-foto yang ditangkapnya.
Pixel 10 Pro dan 10 Pro XL menggunakan Android dengan Material 3 Expressive. Ia menawarkan animasi yang lebih lancar dan pemperibadian yang lebih mendalam. Google juga menjanjikan sokongan kemaskini selama tujuh tahun untuk sistem operasi, keselamatan dan Pixel Drop.![]()
Pastinya, sejumlah ciri-ciri lazim Gemini AI turut disediakan yang salah satu menjadi tumpuan alatan Magic Cue baharu. Menurut Google, ciri ini memaparkan maklumat relevan secara proaktif merentas aplikasi seperti Messages dan Phone. Misalnya, apabila membuat panggilan syarikat penerbangan, maklumat penerbangan dari Gmail akan dipaparkan secara masa-nyata ketika panggilan sedang dibuat.
Harga Pixel 10 Pro dan Pixel 10 Pro XL di Malaysia
Di Malaysia, Pixel 10 Pro berharga dari RM4,999, manakala Pixel 10 Pro XL bermula dari RM5,999. Pra-tempahan bermula dari hari ini 21 Ogos 2025 melalui kedai dalam talian rasmi Pixel di Shopee, CelcomDigi, Maxis, dan U Mobile. Setiap pembelian turut disediakan langganan Google AI Pro percuma selama setahun.
Ketersediaan Pixel 10 baharu ini dijadualkan bermula dari 28 Ogos ini dan boleh didapati di kedai-kedai fizikal seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Urban Republic, Sen Heng, dan Thunder Match Technology di seluruh negara.



















