Selain melancarkan siri Pixel 10 Pro, Google turut melancarkan Pixel 10 di dalam acara Made by Google malam semalam. Model standard ini juga akan memasuki ke pasaran Malaysia dengan pra-tempahannya telah pun dibuka.

Telefon pintar ini didatangkan dengan saiz 6.3-inci bersama-sama paparan Full HD+ Actua OLED dengan kecerahan sehingga 3,000 nits dan kadar penyegaran semula 120Hz. Di dalamnya, ia dilengkapkan dengan pemprosesan Tensor G5 yang disokong oleh RAM 12GB.

Turut dimuatkan bateri berkapasiti 4,970mAh yang menurut Google menyokong penggunaan sehingga 30 jam bersama-sama sokongan pengecasan berwayar 30W dan nirwayar Qi2 15W.

Perubahan paling ketara Pixel 10 terlihat pada kameranya. Buat pertama kalinya, model standard ini menyokong zum telefoto melalui kamera 10.8MP. Ia turut dibantu oleh kamera utama 48MP dan bersudut lebar 12MP. Di hadapan pula, kamera 10.5MP masih lagi dikekalkan.

Dari segi perisiannya, Google Pixel 10 didatangkan dengan Android 16 bersama-sama sokongan tujuh tahun kemaskini. Sama seperti model Pro, ia juga mempunyai ciri AI eksklusif yang dinamakan sebagai Magic Cue yang membantu pengguna secara proaktif.

Di Malaysia, Google Pixel 10 dijual pada harga bermula dari RM3,999 untuk storan 128GB, dan RM4,499 untuk storan 256GB. Telefon pintar dengan pilihan warna Obsidian, Frost, Indigo dan Lemongrass ini boleh dipra-tempah bermula dari hari ini dan akan menemui pengguna pada 28 Ogos 2025.

Tinggalkan komentar