Google Labs kini memperkenalkan satu eksperimen terbaharu yang dikenali sebagai Disco, sebuah pelayar web yang dikuasakan sepenuhnya oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).
Inisiatif ini merupakan langkah terkini mengintegrasikan model Gemini ke dalam pengalaman melayari internet. Ia seiring dengan perkembangan pelayar berasaskan AI yang turut diterokai oleh pesaing seperti Perplexity dan OpenAI.
Disco disifatkan oleh Google sebagai satu wadah penemuan (discovery vehicle) yang direka khusus untuk membentuk semula cara pengguna berinteraksi dengan laman web. Tumpuan utama pelayar ini adalah ciri yang dinamakan sebagai ‘GenTabs’, yang dibangunkan berasaskan model Gemini 3.
Ciri GenTabs membolehkan pengguna mencipta aplikasi web interaktif bagi melaksanakan tugasan tertentu. Konsep ini digambarkan mirip dengan vibe coding. Pengguna hanya perlu memberikan deskripsi mengenai apa yang mereka mahukan, dan sistem akan menjanakannya.
GenTabs berfungsi dengan menganalisis maklumat daripada tab yang sedang dibuka serta sejarah perbualan pengguna untuk memahami konteks tugasan yang kompleks.
Selain memberi respons kepada permintaan, sistem ini juga mampu mencadangkan aplikasi yang sesuai untuk membantu pengguna. Antaranya merangka pelan pemakanan atau mempelajari sesuatu topik secara mendalam.
Memandangkan statusnya yang masih di peringkat eksperimen, Disco tidak tersedia untuk semua pengguna. Google kini membuka akses melalui senarai menunggu untuk jumlah pengguna yang terhad. Perlu juga dimaklumkan bahawa buat masa ini, perisian ini hanya ditawarkan untuk platform macOS sahaja.
Tiada jaminan bahawa Disco atau ciri GenTabs akan dilancarkan sebagai produk kendiri yang kekal pada masa hadapan. Google menjelaskan bahawa inovasi dan idea terbaik daripada eksperimen ini mungkin akan diintegrasikan ke dalam produk-produk utama syarikat kelak, menjadikan Disco sebagai medan ujian konsep buat masa ini.













