Seorang jurutera dari Google, Blake Lemoine telah dipecat gara-gara dakwaannya yang mengatakan projek kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkannya mencapai tahap seperti makhluk yang berakal (sentient).

Beliau telah bertugas di Google sejak tujuh tahun lalu dan merupakan salah seorang yang terlibat di dalam projek Google Responsible AI. Bulan lalu, beliau menyatakan menerusi Washington Post bahawa projek AI yang ditugaskan kepada beliau iaitu LaMDA atau singkatannya bermaksud Language Model for Dialogue Applications mempunyai kebijaksanaan seperti makhluk berakal.

Tujuan LaMDA dibangunkan adalah bagi membolehkan komputer mengajuk perbualan yang tanpa penghujung (open-ended). Selain menganggap LaMDA sudah mencapai ke tahap makhluk berakal, beliau turut menyatakan sama ada LaMDA mempunyai rohnya sendiri ketika memberitahu kepada portal Wired.

Selepas membuat kenyataan tersebut kepada media tanpa kebenaran majikannya, Lemoine telah digantung tugas buat sementara waktu. Google ketika ditanya mengenai pendapat tersebut segera menafikan kedua-dua kenyataan beliau kepada Washington Post dan Wired sebelum itu. AI yang dinyatakan beliau tersebut bukanlah makhluk berakal seperti yang didakwa.

Selain Google, beberapa ahli komuniti penyelidikan AI turut menafikan dakwaan Lemoine tersebut. Salah seorang daripadanya, Margaret Mitchell memaklumkan sistem seperti LaMDA tidak dibangunkan untuk mampu mempunyai niat, sebaliknya ia sekadar dimodelkan bagaimana manusia menyatakan hasrat berkomunikasi untuk dijadikan bentuk susunan teks.

Tinggalkan komentar