Google telah memperkenalkan Video Overview untuk perkhidmatan pembantu penyelidikan berkuasa AI, NotebookLM. Ciri baharu ini membantu mengubah bahan-bahan seperti nota-nota, fail-fail PDF, dan imej-imej ke dalam bentuk persembahan visual bagi membantu meningkatkan kefahaman.
Pertama kali diumumkan ketika Google I/O pada Mei lalu, Video Overview dibina berasaskan ciri Audio Overview yang sedia ada di dalam NotebookLM. Ia menawarkan kaedah yang lebih visual dalam menerangkan kandungan yang kompleks.
Berbeza dengan Audio Overview yang membuat penerangan dalam bentuk podsiar, ciri ini mengambil visual, rajah, petikan ayat, dan titik-titik data dari dokumen yang dimuat naik pengguna untuk dijadikan sebagai video penjelasan beranimasi.
Menurut Google, ciri ini sesuai untuk menjadikan topik-topik abstrak lebih mudah difahami. Ia juga boleh digunakan untuk menjelaskan trend data, dan menggambarkan proses langkah-demi-langkah.
Pengguna boleh mengubahsuai kandungan dijanakan dengan memperincikan topik apa yang perlu diberikan tumpuan, mendefinisikan objektif pembelajaran, dan menyatakan kepada siapa ia ditujukan.
Pengenalan Video Overview ini memperlihatkan usaha berterusan Google menjadikan NotebookLM alatan yang lebih versatil. Ciri ini kini tersedia kepada pengguna dalam bahasa Inggeris dan akan diperluaskan sokongannya ke bahasa-bahasa lain tidak lama lagi.