Google, sama seperti apa yang telah dilaksanakan oleh Apple Card dan Huawei Card, turut menghasilkan kadnya sendiri tidak berapa lama lagi. Menurut laporan dari Tech Crunch, gergasi enjin carian ini sedang membangunkan kad debit fizikal dan mayanya sendiri.
Kad berkenaan juga akan dijenamakan bersama dengan rakan-rakan dagangnya. Antara yang dinamakan ada CITI dan Stanford Federal Credit Union.
Apabila dilancarkan nanti, kad Google berkenaan akan diintegrasikan dengan aplikasi Google Pay. Buat masa ini, aplikasi berkenaan hanya memegang kad debit atau kredit jenis sedia ada sahaja, sama seperti fungsi yang digunapakai oleh Samsung Pay.
Ini bukanlah kali pertama Google mencuba ideanya dengan kad. Sebelum ini pada tahun 2013 dahulu, Google hadir dengan aplikasi kad debit Google Wallet, namun dimansuhkan pada tahun 2016. Mengambil kira perkembangan semasa, percubaan kali ini dijangka lebih menyeluruh fungsinya berbanding percubaan kali pertamanya dahulu.
Google setakat ini masih belum menyatakan bilakah perkhidmatan ini akan dilancarkan secara rasminya. Sebagaimana aplikasi dan perkhidmatannya yang lain terdahulu, kita juga tidak dapat memastikan sama ada ianya bakal diperkenalkan di negara kita atau tidak.












