Kebanyakan pengguna internet amat faham dengan kerenah pelayar seperti Google Chrome yang kuat makan RAM. Bagaimanapun, tabiat kuat mentekedarah ini akan berhenti apabila sebuah kemaskini terbaru akan terbit pada Disember ini. Chrome 55, pelayar versi kemaskini berkenaan dikatakan akan lebih menjimatkan penggunaan RAM walaupun pada laman-laman web yang sarat dengan JavaScript.
Berdasarkan sumber, Chrome 55 akan hadir dengan enjin JavaScript yang diolah semula – digelar sebagai V8, membolehkan pelayar ini meningkatkan jumlah pengurangan jejak memori. Hal ini mengizinkan laman-laman web seperti Twitter, Reddit dan yang sama spesis dengannya tidak lagi menggunakan sumber memori sistem yang banyak apabila dilayari menggunakan Google Chrome.
Google turut menyediakan dua graf perbandingan yang memaparkan peningkatan kecekapan memori pada Chrome 55 berbanding versi 53 dan 54. Menariknya, peningkatan kecekapan sebanyak 50 peratus telah ditunjukkan apabila melayari laman web seperti Imgur dan The New York Times.
Sudah tentu, peningkatan kecekapan penggunaan RAM ini bakal memberikan kesan yang amat jelas terhadap peranti-peranti yang mempunyai kapasiti RAM yang kecil.
Selain dari penjimatan RAM, penggunaan enjin JavaScript V8 yang terbaru ini turut menghasilkan beberapa penambahbaikan lain pada pelayar paling popular di dunia ini seperti penjimatan bateri dan kemampuan memuat turun laman web yang lebih pantas.
Versi akhir Chrome 55 boleh mula dimuat turun mulai 6 Disember. Penambah baikan tentunya memberikan manfaat buat jutaan pengguna pelayar ini.
Sumber berita diperoleh dari CNET













