Google dilaporkan sedang dalam proses memperkenalkan pilihan baharu yang membolehkan pengguna menukar alamat emel mereka, walaupun akaun tersebut menggunakan domain “@gmail.com”.
Sebelum ini, pengguna hanya dibenarkan menukar alamat emel jika mereka menggunakan penyedia pihak ketiga. Bagaimanapun kemaskini baharu ini akan memberi kebebasan kepada pemegang akaun Gmail untuk menyunting nama pengguna mereka tanpa perlu membuka akaun baharu.
Laporan daripada laman sokongan Google mendedahkan ciri ini sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna. Perubahan ini amat dinantikan memandangkan polisi terdahulu Google menyatakan bahawa alamat emel yang berakhir dengan @gmail.com kebiasaannya tidak boleh diubah setelah dicipta.
Maklumat mengenai perubahan polisi ini dikesan melalui laman sokongan Google yang memperincikan proses tersebut.
Menurut kenyataan yang diterjemahkan daripada laman sokongan Google:
“Alamat emel yang dikaitkan dengan Akaun Google anda adalah alamat yang anda gunakan untuk log masuk ke perkhidmatan Google. Jika anda mahu, anda boleh menukar alamat emel Akaun Google anda yang berakhir dengan gmail.com kepada alamat emel baharu yang berakhir dengan gmail.com.”
Syarat penukaran nama alamat @gmail.com
Apabila fungsi ini diaktifkan sepenuhnya, pengguna boleh melakukan penukaran melalui tetapan “My Account”. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat dan mekanisme penting yang perlu dipatuhi oleh pengguna:
- Alamat Lama Sebagai Alias: Alamat emel lama tidak akan dipadamkan, sebaliknya ia akan dijadikan “alias”. Pengguna masih akan menerima emel yang dihantar ke alamat lama di peti masuk yang sama.
- Keselamatan Data: Segala data yang disimpan dalam akaun, termasuk gambar, mesej, dan emel terdahulu tidak akan terjejas.
- Had Penukaran: Setiap akaun dihadkan kepada maksimum tiga kali penukaran alamat emel, menjadikan jumlah keseluruhan empat alamat yang boleh dikaitkan dengan satu akaun.
- Tempoh Menunggu: Pengguna tidak dibenarkan membuat alamat emel baharu atau memadam alamat emel terkini dalam tempoh 12 bulan selepas penukaran dibuat.
- Hak Milik Kekal: Alamat lama kekal menjadi milik pengguna dan tidak boleh digunakan oleh individu lain.
Walaupun ciri ini belum tersedia sepenuhnya untuk semua pengguna secara global, dokumen sokongan tersebut mengesahkan bahawa ia sedang dilancarkan secara berperingkat.
Ini merupakan berita baik bagi pengguna yang ingin menukar nama emel lama yang mungkin tidak lagi sesuai untuk kegunaan profesional tanpa kehilangan akses kepada data sedia ada. Google dijangka akan mengumumkan ketersediaan penuh fungsi ini dalam masa terdekat.













