Google distrukturkan semula dibawah syarikat induk baru yang dikenali sebagai Alphabet. Pengasas Google, Sergey Brin dan Larry Page akan menjadi Presiden syarikat pemegangan baharu ini.
Alphabet diwujudkan sebagai syarikat pemegangan (holding) yang memiliki keseluruhan hak milik Google. Sehubungan itu, Google yang asal yang akan dikecilkan operasinya dengan menumpukan hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan internet tanpa dicampur aduk dengan perkara lain yang diluar bidang asal Google.
Naib Presiden Kanan Google, Sundar Pichai telah dinaikkan pangkat kepada CEO untuk meneruskan kesinambungan inovasi Google di dalam pembangunan dunia maya global secara amnya.
Untuk jangka masa panjang, Alphabet dapat menumpukan optimisme Google sebelum ini dengan menguruskan projek-projek besar seperti Life Science yang sebelum ini pernah menghasilkan produk kanta lekap pengesan glukos dan Calico yang menjalankan kajian seperti faktor-faktor yang memberi kesan terhadap jangka hayat organisma. Selain itu, X Lab yang bertanggungjawab menguruskan projek kereta pandu sendiri Google turut diletakkan sebagai entiti berasingan dibawah payung Alphabet.
Selain itu, penubuhan Alphabet memudahkan Larry Page dan Sergey Brin memasuki bidang-bidang baharu teknologi tanpa perlu membawa beban nama Google. Sebelum ini, kebanyakan pihak berasa pelik bagaimana sebuah syarikat enjin carian internet boleh menceburi bidang yang tidak berkaitan seperti kereta pandu sendiri dan projek angkasa lepas seperti SpaceX.
Lagipun, penggunaan nama Google sudah lama sebati di kalangan masyarakat yang menggunakannya sebagai terma carian di dalam internet dan kini Google sudah menjadi terlalu kecil buat Sergey Brin dan Larry Page untuk merealisasikan impian mereka.
-Sumber berita diperoleh dari Blog Google












