Platform mudah alih Android membenarkan penggunanya memasang apa jua perisian di dalamnya dan ia mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Pun begitu, Google berpandangan ia membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikannya dan berhasrat untuk menyekat pemasangan sisi (sideloading) aplikasi Android yang tidak disahkan.

Pembangun-pembangun aplikasi dikehendaki membuat pengesahan identiti untuk membolehkan aplikasi masing-masing boleh dibuat pemasangan sisi. Di dalam Android Developer Blog, Google menyatakan langkah ini menyukarkan pihak yang ingin mengambil kesempatan dan berniat jahat menghasilkan aplikasi merbahaya.

Menurutnya lagi, sejak memperkenalkan pengesahan identiti untuk pembangun di dalam Google Play pada 2023, insiden malware dan penipuan mula mencatatkan penurunan kes.

Google mengandaikan langkah ini seperti pemeriksaan identiti di lapangan terbang untuk mengesahkan identiti pembangunnya tanpa melibatkan penilaian aplikasi. Tambah Google lagi, terdapat 50 kali ganda lebih banyak malware di dalam aplikasi muatan sisi (sideload) berbanding di dalam Google Play.

Bagi melancarkan proses tersebut, Google sedang menghasilkan Android Developer Console untuk pembangun yang hanya akan menyediakan aplikasi di luar Google Play. Proses pengesahan baharu ini akan bermula pada tahun hadapan bermula dengan beberapa negara yang seringkali mempunyai lambakan aplikasi scam.

Tinggalkan komentar