Google mengumumkan pelan AI Plus baharu yang melengkapkan pelan akses kecerdasan buatan Pro dan Ultra yang lebih tinggi harganya. Pelan baharu ini merupakan penawaran pada harga lebih mampu milik pada RM23.99 sebulan.

Had penggunaannya lebih tinggi dan pelbagai berbanding pelanggan percuma merangkumi penjanaan dan suntingan imej Nano Banana, dan respon Gemini 2.5 Pro. Ciri-ciri termaju penjana video Veo 3 juga boleh diakses melalui Gemini, Whisk dan Flow.

Pelanggan AI Plus juga menerima integrasi Gemini di dalam Gmail, Docs, Sheets dan lain-lain perkhidmatan produktiviti lain. Turut disediakan bersama, storan 200GB untuk digunakan secara bersama dengan Photos, Drive dan Gmail. Ciri-ciri lain melibatkan pengekodan dan penyelidikan bagaimanapun hanya ditawarkan untuk pelan Pro dan Ultra.

Sebagai bonus, Google turut menyatakan pelan AI Plus ini boleh dikongsikan bersama dengan sehingga lima orang anggota keluarga.

Dalam pada masa yang sama, Google turut menawarkan akses pelan AI Pro secara percuma kepada pelajar untuk selama setahun. Menerusinya, pelajar boleh mengakses ke model Gemini 2.5 Pro, Deep Research, Audio Overview, dan storan 2TB. Tawaran ini dibuka sehingga 9 Disember 2025.

Tinggalkan komentar