Penggunaan platform kandungan video seperti TikTok kian meningkat dengan majoriti daripadanya terdiri daripada kelompok pengguna muda merangkumi Generasi Z. Berdasarkan dapatan data dari Google, lebih kurang 40% dari kelompok Gen Z lebih cenderung menggunakan TikTok dan Instagram untuk carian di internet.
Menurut laporan tersebut, Google sedang giat untuk memahami tabiat penggunaan internet di kalangan pengguna-pengguna muda. Kumpulan pengguna berkenaan pada kebiasaannya menggunakan TikTok atau Instagram untuk mencari tempat makan kegemaran berbanding menggunakan Google Map atau carian di Google.
Pengguna biasanya menggunakan TikTok untuk mendapatkan hiburan segera dan juga mendapatkan informasi menarik mengenai lokasi gerai atau kedai makan yang sedang ‘vairel’. Ini menandakan perubahan platform yang mana sebelum ini netizen menggunakan media sosial dan carian di internet menerusi blog-blog popular untuk mengetahui lokasi makanan dan resipi yang menarik.
Pun begitu, perubahan ini turut mengakibatkan kesan negatif apabila pengguna semakin ramai menggunakan TikTok untuk carian maklumat termasuk yang memerlukan fakta yang tepat dan terperinci.
Harap ada yang sudi tampal tweet saya di video tiktok hamba Allah yang kata hukum jual beli cedok itu boleh. Moga ada manfaatnya. Sebab nampak macam ramai yang anggap boleh, sedangkan sarjana kita buat tulisan berserta dalil dan kaedah fiqh menyatakan sebaliknya.
— Muzuza (@Muzuzxck) July 18, 2022
Sebahagian pengguna menyatakan kegusaran mengenai penyebaran fakta yang kurang tepat di platform berkenaan terutamanya yang melibatkan hukum-hakam dalam agama.













