Samsung kini bersiap sedia untuk pelancaran rasmi Galaxy Z Fold 6 dan Z Flip 6 pada 10 Julai ini. Walaupun pelbagai khabar angin telah berlegar, senarai Geekbench 6 baru-baru ini memberikan mengukuhkan lagi dakwaan mengenai salah satu ciri yang paling dinantikan.
Senarai Geekbench 6 menunjukkan Galaxy Z Fold 6 akan dipacu oleh cipset Snapdragon 8 Gen 3 dari Qualcomm. Walaupun telefon pintar berkenaan mencatat skor sedikit lebih rendah berbanding peranti lain yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 3, ia mungkin disebabkan oleh sampel pra-pengeluaran. Pada kebiasaannya, penalaan dan pengoptimuman tambahan dilakukan sebelum pelancaran akhir.

Selain itu, senarai skor Geekbench ini mengesahkan bahawa Galaxy Z Fold6 akan mempunyai sekurang-kurangnya satu pilihan memori, iaitu RAM 12GB. Maklumat baharu ini kelihatan seiring dengan jangkaan untuk peranti boleh lipat yang berprestasi tinggi dan premium dari Samsung.
Bagi pasaran Malaysia, siri Galaxy Z sehingga Galaxy Z Fold 5 dan Galaxy Z Flip 5 menggunakan pemprosesan Snapdragon sejak ia mula diperkenalkan.
Kira-kira dua bulan lagi menjelang pelancaran rasminya, masih banyak spekulasi dan desas-desus berhubung telefon boleh lipat baharu dari Samsung ini. Teruskan mengikuti perkembangan teknologi di Harian Teknologi untuk informasi terkini.













