Tarikh pelancaran Samsung Galaxy Note10 masih belum diketahui lagi setakat ini. Namun, semakin hari semakin banyak maklumat berkenaan peranti ini tertiris. Antara yang terbaru, penggunaan storan UFS 3.0, pengecasan pantas 50W dan sokongan 5x zum optikal hasil penggunaan modul kamera ultra-nipis terbaru Samsung.

Forbes melaporkan bahawa UFS 3.0 berkemungkinan besar bakal digunakan pada Note10 bersama-sama modul RAM generasi akan datang. Bagaimanapun, penderia 64MP ISOCELL yang baru dibangunkan mungkin tidak akan dipasang pada telefon pintar berkenaan kerana dikhabarkan akan dipasang pada Samsung Galaxy A70S terlebih dahulu untuk menilai tahap penerimaan dari pengguna.

Selain itu, terdapat khabar angin yang mendakwa telefon pintar berkenaan akan hadir dengan tetapan tri-kamera yang disusun secara menegak. Kamera Note10 mungkin diposisikan secara berbeza berbanding Note 9. Selain itu, ura-ura mengatakan paparan Infinity-O akan menjadi pilihan pada peranti ini.

Kamera pada Note10 juga dijangkakan menawarkan fungsi zum optikal 5x, hasil dari modul kamera zum optikal 5x ultra tipis yang baru dibangunkan oleh Samsung. Apa yang menarik, modul ini disasarkan untuk dihasilkan secara besar-besaran bermula bulan ini, meningkatkan lagi kemungkinan ianya bakal ditempatkan pada Note10. Modul berketebalan 5mm ini adalah lebih nipis daripada kebanyakan modul zum optik 2x di pasaran ketika ini. Teknologi ini kelihatan sama dengan teknologi OPPO dan Huawei dengan lensa periscope.

Melalui khabar angin ini, adakah Samsung Galaxy Note10 mampu mengatasi kelebihan siri Samsung Galaxy S10 kelak?

Tinggalkan komentar