Industri teknologi berdepan dengan kemungkinan satu lagi masalah bekalan komponen berikutan pelaksanaan ‘lockdown’ oleh kerajaan tempatan Shenzhen. Kesemua bentuk perniagaan bukan keperluan diarahkan ditutup sementara bermula dari 14 hingga 20 Mac berikutan penularan wabak COVID-19 di China.

Pihak berkuasan tempatan Shenzhen juga telah menghentikan kesemua perkhidmatan pengangkutan awam. Sejumlah 17 juta penduduk di kota besar berkenaan juga diarahkan untuk menjalani ujian PCR.

Ahad lalu, China melaporkan lebih dari 1,800 kes di seluruh negara dengan 60 daripadanya di Shenzhen. Sungguhpun angka tersebut dilihat kecil, namun disebabkan oleh penguatkuasaan COVID sifar yang ketat telah memaksa langkah berkenaan dilaksanakan.

Kotaraya Shenzhen yang bersebelahan dengan Hong Kong bukan sekadar menempatkan syarikat-syarikat teknologi utama China seperti Huawei, OPPO, OnePlus, DJI, ZTE dan banyak lagi. Malah, turut menempatkan sejumlah besar kilang-kilang membekal komponen teknologi berskala besar seperti Foxconn yang membekalkan komponen untuk syarikat utama dunia seperti Apple dan Samsung.

Fasiliti Foxconn di Shenzhen merupakan hab pengeluaran kedua terbesar milik syarikat berkenaan. Ia berperanan menjalankan pelbagai kegiatan menghasilkan prototaip awal dan juga kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan teknologi.

Tinggalkan komentar