Fail-fail pendua kadangkala diwujudkan tanpa sengaja oleh sesetengah pengguna atas pelbagai sebab. Kejadian kewujudan fail-fail pendua tanpa sedar ini boleh menyebabkan storan pengguna cepat menjadi penuh.
Terdapat pelbagai perisian yang boleh dimuat turun dari Internet dan digunakan untuk tujuan menjejak fail-fail pendua ini.
Bagaimanapun, anda juga boleh menggunakan alatan sedia ada pada Windows 10 seperti PowerShell.
Menjejak fail pendua dengan PowerShell
- Bukakan tetingkap File Explorer.

- Telusuri ke laluan folder yang anda ingin jejak, sambil memegang kekunci SHIFT pada papan kekunci, klik kanan pada tetingkap berkenaan dan seterusnya pilih Open PowerShell window here.
- Taipkan baris perintah berikut;
gci -file -recurse | Group-Object Length | Where-Object { $_.Count -gt 1 } | select -ExpandProperty group | foreach {get-filehash -literalpath $_.fullname} | group -property hash | where { $_.count -gt 1 } | select -ExpandProperty group | select hash, path | Out-File semakan.txt -width 510
Seterusnya, tekan ENTER. Jika terdapat output arahan yang berwarna merah, abaikan sahaja.
Selepas proses penjejakan tersebut selesai, anda akan dapati sebuah fail yang dinamakan sebagai semakan.txt telah diwujudkan pada folder yang sama.
Menerusi fail tersebut, disediakan maklumat berkenaan Hash dan lokasi fail yang berkaitan mengikut folder yang anda telah pilih. Maklumat yang ditunjukkan adalah tepat kerana ianya dipadankan antara Checksum dan Hash fail-fail yang terlibat.













