Kementerian Komunikasi sebelum ini menyatakan sedang mengusahakan kaedah untuk menghindarkan kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah dari media sosial. Antara yang dicadangkan kaedah pengesahan umur.
Rentetan perkembangan tersebut, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan platform media sosial di Malaysia telah dinasihatkan untuk melaksanakan pengesahan electronic know-your-customer (eKYC).
Ia boleh dilakukan menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, passport atau MyDigital ID. Beliau menyatakan ia dapat memastikan identiti pengguna dapat disahkan sepenuhnya untuk mengurangkan penipuan dalam talian, dan menghalang kanak-kanak berusia bawah 13 tahun dari platform media sosial.
Menurut The Edge, Fahmi menyatakan “Kita dapati platform-platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram, TikTok dan sebagainya tidak mempunyai sistem eKYC yang benar-benar berkemampuan, jadi kita telah minta supaya mereka melaksanakan proses eKYC dengan menggunakan dokumen-dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan,”
Tambah beliau lagi buat masa ini ia hanya digalakkan. Namun, akan diwajibkan sebaik sahaja Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) berkuatkuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menyelaraskan satu pertemuan antara badan-badan kerajaan dengan Meta dan TikTok di Singapura dalam tempoh dua minggu. Antara isu yang dibincangkan melibatkan penjualan barangan terlarang seperti vape dan pelaksanaan eKYC seperti yang dinyatakan tadi.













