Nama Facebook meliputi platform media sosial dan juga syarikat yang memilikinya. Atas sebab itu, syarikat berkenaan dilihat sedang menjenamakan semula jenamanya bagi membezakan antara kedua-dua entiti.
Walaubagaimanapun, sebab utamanya adalah lebih dari sekadar membezakan antara kedua-duanya. Laman The Verge melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg merancang untuk mengumumkan tidak lama lagi.
Ia dijangka akan diumumkan bersempena Persidangan Tahunan Facebook Connect. Acara berkenaan dijadualkan berlangsung pada 28 Oktober ini, namun pengumuman penjenamaan tersebut berkemungkinan berlaku lebih awal.
Nama baharu berkenaan setakat ini masih lagi belum diketahui. Berdasarkan laporan, nama baharu ini dirahsiakan dan ditutup kemas dari pengetahuan sesiapa pun termasuk dari pemimpin kanan Facebook.
Facebook bukanlah syarikat pertama yang menjenamakan semula dirinya. Pada 2015 lalu, Google telah mengubahkan namanya kepada Alphabet sebagai sebuah badan korporat yang memayungi perkhidmatannya yang lain seperti enjin carian Google dan sebagainya.
Selain itu, Snapchat juga telah menjenamakan dirinya sebagai Snap Inc bagi menumpukan kepada produk lain selain dari permesejan.
Berbalik dengan Facebook, syarikat berkenaan dilihat cuba mengikuti langkah yang dibuat oleh Snapchat, cuma berbeza dari segi kapasiti. Laporan tersebut juga menyebut Mark Zuckerberg cuba mengubah pandangan orang ramai terhadap syarikatnya bukan sekadar syarikat media sosial. Tetapi lebih kepada sebuah syarikat ‘metaverse’.













