Epic Games hari ini secara rasminya mengumumkan Unreal Engine 5 (UE5), sebuah enjin permainan berkomputer yang popular dikalangan pembangun permainan berkomputer.

Apa yang menariknya dari pengumuman ini adalah Epic turut mempamerkan demonstrasi enjin tersebut melalui PlayStation 5.

Demonstrasi enjin permainan komputer berkenaan bagaimanapun, dijalankan menerusi kit pembangunan PlayStation 5. Unreal Engine 5 juga akan menyokong konsol generasi semasa dan juga berikutnya disamping turut menyokong PC, Mac, iOS dan Android.

Malah, Epic turut menyatakan para pembangun boleh membangunkan permainan untuk konsol generasi berikut menggunakan UE4 dan memigrasikannya ke UE5 di masa akan datang. Kaedah ini turut pernah digunapakai oleh judul popular dari Epic, Fortnite.

Demonstrasi teknologi UE5 melalui PlayStation 5 ini diberi judul Lumen in the Land of Nanite. Menerusinya, terdapat dua teknologi yang diketengahkan untuk enjin permainan terbaru ini. Salah satunya adalah Nanite yang membolehkan para pembangun mengimport sumber seni berperincian tinggi secara terus tanpa mengurangkan kualitinya dalam waktu yang singkat.

Selain itu, teknologi yang dikenali sebagai Lumen turut digunapakai sebagai alatan iluminsai. Ianya bagi memberikan kesan pencahayaan yang dinamik sepenuhnya serta cepat bertindak balas terhadap perubahan yang dilakukan sepanjang tempoh pembangunan.

Sungguhpun demonstrasi teknologi ini bukanlah permainan lengkap, Ketua Pegawai Eksekutif Epic Games, Encik Tim Sweeney memaklumkan permainan ini boleh dimainkan menerusi PlayStation 5. Encik Kim Libreri, Ketua Pegawai Teknologi pula turut menambah para pembangun boleh mencubanya di dalam acara GDC. Itupun jika ianya tidak dibatalkan.

Apa pun, demonstrasi ini dapat memberikan selayang pandang kepada orang ramai berkenaan tahap kejituan grafik yang mampu dibawakan oleh PlayStation 5. Bagaimanapun, ini tidak menjanjikan kita semua dapat menyaksikan permainan berasaskan UE5 sebaik PlayStation 5 dilancarkan pada tahun ini. Ini kerana UE5 hanya tersedia sebagai pratonton seawal 2021.

Tinggalkan komentar