Huawei mengumumkan kemaskini terbaru, EMUI 9.1 bakal tersedia bermula 27 Jun ini khusus untuk Huawei Mate 20 Pro, Mate 20, Mate 20 X, dan Mate RS Porsche Design.
Antara ciri baru yang dijangka bakal disediakan termasuklah sistem fail baru, GPU Turbo 3.0, dan ‘Moon Mode’. Di samping itu, pengguna kini boleh menetapkan video sebagai nada dering panggilan dengan menggunakan klip video buatan sendiri atau dari fail-fail video lain.
Untuk mendapatkan kemas kini ini, pengguna perlu memastikan bahawa peranti yang digunakan telah berada pada versi baseline yang telah dikemaskini dengan menyemak: Settings > System > Software update > Check For Updates
| Huawei Mate 20 | HMA-L29C 9.0.0.270 |
| Huawei Mate 20 Pro | LYA-L29C 9.0.0.267 |
| Huawei Mate 20 X | EVR-L29B 9.0.0.207 |
| Huawei Porsche Design Mate 20 RS | LYA-L29CP 9.0.0.277 |
Menurut Huawei, pengguna perlu menyediakan storan sebanyak 6GB sebelum memulakan proses memuat turun kemaskini EMUI 9.1 melalui aplikasi HiCare.
Melalui kemaskini ini, Huawei turut memperkenalkan sistem fail terbarunya, EROFS. Sistem ini dilaporkan meningkatkan taraf prestasi sesebuah peranti yang menggunakannya.Antaranya termasuklah peningkatan sebanyak 20% dalam prestasi bacaan rawak, pelancaran aplikasi yang lebih cepat (kenaikan 10%), lebih penjimatan ruang storan, dan tahap keselamatan yang lebih tinggi.
Huawei menjelaskan sistem EROFS direka sebagai sistem baca-sahaja (read-only), seterusnya menghalang mana-mana aplikasi pihak ketiga lain untuk menulis semula (rewrite) partition sistem ini. Justeru, menjadikan sistem fail ini lebih selamat dari ancaman luar.
Fungsi GPU Turbo 3.0 yang pertama kalinya ditawarkan untuk siri Huawei P30 turut hadir ke siri Mate 20 ini melalui kemaskini EMUI 9.1.
Tidak ketinggalan, fungsi fotografi ‘Moon Mode’ yang disediakan pada P30 turut dibawakan ke dalam kemaskini ini. Bagaimanapun, ianya hanya ditawarkan pada telefon-telefon pintar premium seperti Mate 20 Pro dan Mate 20.













