Elon Musk mengacah prototaip robot humanoid Optimus di dalam mesyuarat tahunan pemegang saham baru-baru ini. Imej baharu berkenaan telah dipertontonkan menjelang pengumuman rasminya pada 30 September ini.
Imej berkenaan juga menunjukkan tangan prototaip Optimus berkenaan sebagai promosi untuk acara AI Day Part II. Ia akan dilangsungkan sebagai salah satu acara untuk menarik minat pakar kecerdasan buatan menyertai syarikat Tesla.
Di dalam mesyuarat pemegang saham tersebut, Elon Musk menegaskan bahawa beliau yakin perniagaan robot humanoid akan menjadi lebih besar berbanding perniagaan automotif Tesla.
“I suspect Optimus is going to be more valuable than the car long-term. It will turn the whole notion of the economy on its head.”
Sebelum ini Elon Musk menyatakan robot Optimus berkenaan mampu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh dan mengurangkan kos pengeluaran. Tesla merancang untuk memanfaatkan kepakarannya di dalam bidang elektronik, bateri dan AI bagi membina produk revolusionari tersebut.
Elon Musk pada asalnya mendakwa robot berkenaan mampu melakukan tugasan ringkas yang berulang termasuk operasi pengeluaran. Bagaimanapun, Tesla merancang untuk terus menambah baik keupayaan robot tersebut dengan membolehkannya melakukan tugasan yang lebih kompleks untuk kegunaan komersil dan pengguna biasa.
Tesla mensasarkan untuk memulakan pengeluaran robot Optimus pada tahun 2023 dan sedang menumpukan pembangunannya melebihi produk lain pada tahun ini.













