Easy Taxi, pesaing kepada Uber dan GrabTaxi yang dimiliki oleh Rocket Internet telah menamatkan perkhidmatannya di Asia dalam usaha memberikan tumpuan terhadap pasaran di negara-negara rantau asalnya, Amerika Selatan.
Berita ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan perkhidmatan Easy Taxi telah mula ditamatkan di beberapa negara-negara Asia sejak kebelakangan ini. Bermula dengan penamatan perkhidmatan di India pada Disember 2014, diikuti dengan Taiwan pada Januari 2015, Hong Kong pada Februari dan seterusnya Singapura pada bulan September. Bagaimanapun, perkhidmatan di negara-negara Asia lain terutamanya di rantau Asia Tenggara masih lagi diteruskan sehinggalah pengumuman penamatan perkhdimatan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Ketika perkhidmatan ini mencapai tahap terbaiknya, ia merangkumi 420 buah bandar-bandar utama di seluruh dunia, termasuk 20 lokasi utama di Asia dan bandar-bandar utama di Afrika dan rantau Timur Tengah.
Tempoh peralihan syarikat perkhidmatan ini telah pun bermula sejak dari tahun lalu. Sesetengah pekerja di Asia diberikan pilihan sama ada ingin berhenti secara sukarela atau dipindahkan ke lokasi lain. Namun, aplikasinya masih lagi beroperasi untuk membolehkan para penggunanya menggunakan perkhidmatan melalui saki baki pemandu-pemandunya yang masih lagi bergantung dengan aplikasi Easy Taxi.
Easy Taxi pertama sekali mula beroperasi di Brazil dan telah berjaya menarik nilai pelaburan sehingga USD 75 juta dan berjaya menembusi pasaran Asia.
-Sumber berita diperoleh dari Tech Crunch, Imej diperoleh dari Groupon













