EASEUS Data Recovery Wizard merupakan perisian pemulihan data profesional yang berkeupayaan menyediakan senarai nama-nama fail yang ingin dipulihkan dengan nama asal sebelum terpadam. Sesuatu yang jarang disediakan oleh kebanyakan perisian pemulihan data lain.
Perisian ini mampu memulihkan fail-fail yang telah dipadamkan walaupun hard disk berkenaan telah diformat atau dipadamkan partition. Oleh itu, jika anda telah memadam sesebuah partition tanpa sengaja, tenang – EASEUS Data Recovery Wizard kan ada.
Jenis-jenis pemulihan yang boleh dilakukan termasuklah kebolehannya untuk mencipta sebuah disk image, iaitu salinan kepada pemacu anda yang telah korup (corrupted). Jika anda mendapati senarai pencarian fail-fail yang telah dipadamkan berkenaan terlalu panjang, anda boleh cuba menaip fail-fail berkenaan pada kotak carian yang disediakan. Selain itu, anda juga boleh preview fail-fail berkenaan dengan klik dua kali (double-click) padanya.
EASEUS Data Recovery Wizard boleh digunakan pada apa jua keadaan kemalangan kehilangan data, serta boleh digunakan pada sistem operasi Windows dari 2000 dan ke atas. Ia menyokong sistem-sistem fail seperti FAT12, FAT16, FAT32, NTFS dan EXT2/EXT3 serta berkemampuan memulihkan data-data dari hard disk, storan USB, kad memori dan banyak lagi.
Cuma. Perisian EASEUS Data Recovery Wizard Free ini hanya mampu memulihkan fail maksimum sehingga 500 MB sahaja. Tapi, anda boleh mendapatkan tambahan sehingga 1.5 GB lagi jika berkongsikan maklumat tentang perisian ini melalui media sosial seperti Facebook, Google+ dan Twitter.
Bagi anda yang kehilangan setakat satu atau dua fail sahaja, penggunaan versi percuma perisian ini mungkin amat memadai. Namun, andai kata jumlah saiz fail yang ingin dipulihkan tersebut terlalu besar, anda mungkin perlu membeli lesen penuh perisian ini.
Panduan Memulihkan Data dengan EASEUS Data Recovery Wizard
Muat turun perisian pemulihan data ini dan pasangkannya. Jangan pasangkan pada hard disk yang anda ingin pulihkan datanya, bimbang kalau-kalau data dan fail yang hilang tu di overwrite.
Pilih jenis data yang ingin dipulihkan
Sebaik sahaja perisian berkenaan dimulakan, sebuah paparan akan muncul memberikan pilihan jenis-jenis fail yang ingin dipulihkan dalam enam jenis kategori, Graphic, Audio, Document, Video, Email dan Other. Selepas memilih jenis fail apa yang ingin dipulihkan, tekan butang Next.
Pilih lokasi data yang ingin dipulihkan
Seterusnya, perisian pemulihan ini akan memaparkan pemacu-pemacu yang terdapat pada komputer ini berserta partition-partition yang pernah diwujudkan pada hard disk yang dipasang pada komputer. Pilih pemacu mana yang anda ingin dapatkan kembali data-datanya dan tekan butang Next.
Imbas komputer atau peranti anda
Sebaik sahaja butang Next ditekan, perisian ini akan terus melakukan imbasan segera pemacu yang telah dipilih. Pada kebiasaannya, imbasan pertama kali ini berlaku dengan pantas.
Jika anda mendapati fail yang ingin dipulihkan tersebut masih lagi belum ditemui. Teruskan ke Deep Scan.
Ok, kalau dah masuk Deep Scan ni, memang lama la kalau nak tunggu sampai habis scan.
Usai kerja-kerja imbasan telah selesai, pilih pada fail-fail yang anda ingin pulihkan. Kemudian, klik pada butang Recover.
Seterusnya, pilih lokasi untuk anda menempatkan fail-fail yang telah dipulihkan kembali dan kemudian, tetingkap lokasi fail berkenaan akan dibuka secara automatik.
Selesai.
Bagi anda yang ingin memulihkan kembali fail-fail yang kecil saiznya, versi percuma EASEUS Data Recovery Wizard ini sudah memadai. Namun, bagi yang ingin mendapatkan fail yang lebih besar saiznya, anda boleh mendapatkan versi berbayarnya dari serendah USD 69.95 (Lebih kurang RM 280.80)
-Imej cover diperoleh dari 123rf



















